Malaysia Dateline

Carta jawatan ‘kosong’ selepas pecah kes ‘duit kopi’ kerja turap lorong jalan kampung

Carta jawatan bagi Ketua Penolong Pegawai Daerah Gred M52 di laman web Pejabat Tanah dan Daerah Sepang didapati ‘kosong’ hari ini selepas pecah kes ‘duit kopi’ berkaitan kerja penurapan lorong jalan kampung di Kuala Langat pada 2020 dan 2021.

Tertuduh, Mohd Asraf Redzuan, 39, yang merupakan bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat (PTDKL) kini bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang.

Namun, bapa kepada empat anak yang masih kecil itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja penurapan tersebut.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, Asraf menerusi seorang individu lain didakwa meminta bagi dirinya wang berjumlah RM5,000 dan menerima RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 44 tahun sebagai upah baginya iaitu Ketua Penolong Pegawai Daerah di PTDKL melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara yang mana PTDKL itu terlibat.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Tanah Sepang didakwa rasuah.

Upah tersebut adalah bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula dua lorong di Kampung Batu 10, Kebun Baru, Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Asraf didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pentadbiran, Dewan Syarahan dan Muzakarah sebuah masjid serta sebuah cawangan bank di Seksyen 14 dekat sini pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021, lapor BH.

Jaminan RM10,000 kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dikemukan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober.

Baca juga Pinggan mangkuk berlonggok bukan lagi mimpi buruk, kaum Hawa kongsi cara mencuci lebih lancar

Baca juga Ambulans lambat sampai, mangsa kemalangan dihantar guna jengkaut ke hospital