Caruman KWSP suri rumah: Wanita PH sambut baik pandangan Dr Kumar

Caruman KWSP suri rumah: Wanita PH sambut baik pandangan Dr Kumar

Wanita Pakatan Harapan (PH) mengucapkan terima kasih kepada Dr Michael Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas sokongan beliau terhadap suri rumah dan ibu-ibu yang bekerja.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Wanita PH, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Wanita PH turut mengalu-alukan pandangan pemimpin-pemimpin lain mengenai pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan suri rumah terhadap pertumbuhan dan pembangunan negara ini.

“Cadangan Dr Kumar itu merupakan apa yang ingin kami capai suatu hari nanti. Tetapi kita perlu mulakan dahulu dan kemudian memperbaikinya kemudian.

“Caruman KWSP ini adalah titik permulaan untuk memberikan kesedaran tentang perlunya rangkaian selamat bagi wanita tidak bekerja atau suri rumah pada usia tua.

“Memang jumlahnya kecil berbanding sumbangan mereka tetapi kami telah pun mendapat protes daripada sebahagian kaum lelaki atau para suami dan kelompok tertentu berhubung rancangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Dr Mariah, terdapat banyak aspek yang perlu dikaji oleh pihaknya melibatkan perubahan undang-undang dan juga polisi.

“Cadangan KWSP ini hanyalah permulaan dan ia adalah perkara yang akan kami buat dahulu. Kami akan mengkaji semua cadangan daripada semua sektor dan juga pemimpin.

“Kami juga ingin mendengar pandangan mereka yang berkeluarga,” tambah Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Serdang itu.

CATEGORIES