Malaysia Dateline

CATATAN EDITOR: Maaf amat susah untuk diucapkan, tetapi kami lakukannya

Sorry seems to be the hardest word,” kata Sir Elton John, penyanyi Inggeris yang terkenal itu melalui lagunya. Maknanya “Maaf adalah perkataan yang paling sukar untuk diucapkan”.

Ia melibatkan harga diri, kemegahan dan gengsi. Ia amat sukar untuk dilakukan kecuali mereka yang berani dan kuat untuk menghadapi risikonya.

Hari ini, kami sidang editor Malaysia Dateline memohon maaf kepada Tan Sri Annuar Musa kerana tersalah lapor dan disalah mengerti oleh sesetengah pembaca.

Tersalah lapor kerana beranggapan Annuar Musa membuat ucapan hari jadi dalam satu majlis dengan pelajar tahfiz ketika negara dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia berlaku apabila Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat ucapan hari jadi sambil mengepilkan 10 gambar beliau bersama-sama dengan pelajar-pelajar tahfiz itu sempena hari lahirnya yang jatuh hari ini menerusi Facebook beliau.

Disalah mengertikan kerana gambar yang kami siarkan dalam satu berita yang lain tentang gurauan seorang aktivis di laman Twitter tentang seorang menteri bergelar Tan Sri yang menyambut hari jadinya hari ini berkahwin di Selatan Thai.

Padahal gambar yang kami siarkan itu berkaitan dengan dakwaan beliau sebelum ini tentang gosip Annuar Musa berkahwin dengan penyanyi berkenaan dan tidak ada kaitan dengan Tan Sri itu.

Kerana tersalah lapor dan tersalah mengerti kami menarik balik kedua-dua laporan berkenaan dan memohon maaf dari Tan Sri Annuar Musa walaupun “Sorry seems to be the hardest word”.

Di bulan puasa yang mulia ini, dalam menjalankan tugas sebagai media, kami juga kadang-kadang menyusahkan pihak lain. Antara yang susah kerana laporan kami adalah Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang ‘tersalah’ langgar SOP.

Kali pertama, Dr Azman menyusahkan dirinya sendiri kerana ‘tersalah’ masukkan gambar beliau melanggar SOP ke dalam Facebooknya.

Ia berlaku apabila Dr Azman menyertai satu majlis ‘moreh’ di sebuah surau ketika ditetapkan ‘moreh’ tidak dibenarkan di surau-surau sepanjang PKP ini. Kami melaporkan ‘tersalah’ langgar SOP ini.

Kali kedua, rakannya pula yang ‘tersalah’ memasukkan gambar kunjungan beliau ke rumah Dr Azman di hari raya pertama lalu.

Benar hujjah Dr Azman, takkan beliau sebagai wakil rakyat mahu menghalau orang yang mahu berjumpa beliau di rumahnya ketika hari raya. Kami juga melaporkan ‘tersalah’ langgar Dr Azman itu buat kali keduanya.

Kami mengangkat tabik kepada Dr Azman. Kerana keberanian beliau mengaku kesilapan, meminta maaf dan datang ke balai polis dan meminta agar beliau dikompaunkan kerana kesalahan itu.

Inilah contoh wakil rakyat dan pemimpin yang kita kehendaki. Berani bertanggungjawab dengan apa yang dibuat dan berani mengaku salah dan sedia dihukum kerana kesilapan itu.

Tindakan Dr Azman menyebabkan beliau naik taraf dari seorang exco biasa kepada setaraf dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Razak yang malakukan tindakan serupa, mengaku silap dan sedia dikompaun.

Turut sependapat dengan kami adalah para penyokong Dr Azman yang memuji sikap yang beliau ambil itu. Tahniah Dr Azman. Semoga Dr Azman terpilih lagi dalam pilihan raya nanti dan maafkan kami kerana menyusahkan hidup doktor.

Baru-baru ini kami menyusahkan seorang lagi pemimpin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar yang menyertai satu majlis hari raya dengan pelajar dan pimpinan kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Akibat laporan kami, Profesor dan pimpinan kanan UPM telah susah apabila disiasat polis, sebagaimana kami juga, untuk mengesahkan berita itu.

Kami yakin, Profesor dan pemimpin UPM yang menganjurkan majlis itu berniat baik untuk membantu pelajar UPM yang sedang terkurung dalam asrama masing-masing akibat PKP kerana serangan Covid-19.

Begitu juga pentadbiran kanan UPM sudah tentu berniat baik untuk membantu dan menceriakan pelajar mereka yang tidak boleh pulang ke rumah berhari raya akibat PKP dan Covid-19 dengan menganjurkan majlis itu.

Kehadiran Profesor Husaini ke UPM di hari raya pertama, dengan meninggalkan segala urusan yang lain dan keluarga, sudah tentu sangat dihargai oleh pelajar dan warga UPM.

Namun, apabila pegawai kanan kerajaan sendiri melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan untuk semua orang, ia tidak boleh dibiarkan. Jika dibiarkan, ia akan memberikan mesej yang salah terhadap kerajaan jika tindakan tidak diambil dan media membiarkannya. Ini kerana, SOP dua darjat bakal menggagalkan SOP itu sendiri kerana ia menjadi tawar dan orang ramai akan berani melanggarnya.

Oleh itu, bayar sahajalah kompaun yang dikenakan dan mari kita ‘move on’ dan menjalankan tugas kita masing-masing. Anggaplah ia satu kesilapan dan tidak salah untuk mengakuinya. Mungkin ia boleh mensucikan sedikit sebanyak dosa dan kesilapan yang kita lakukan kerana manusia tidak sunyi dari silap dan dosa.

Semoga permohonaan maaf dan ampun kita diterima Allah di hari baik dan bulan Syawal yang mulia ini.

MAAF ZAHIR DAN BATHIN

Sidang Editor Malaysia Dateline.

Pada 18 Mei 2021