Malaysia Dateline

CCM perlu dianggotai golongan sudah insaf bukan aktivis LGBT, kata Pemuda Ikatan

Perlantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh di ibaratkan sebagai melantik seorang penagih dadah.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahrir Adnan berkata ia seumpama melantik penagih dadah tegar untuk menganggotai CCM bagi mewakili golongan Injection Drug Users (IDUs) yang dianggap sebagai tidak masuk akal.

Katanya, CCM perlu dianggotai golongan cendekiawan Islam agar program yang dilaksanakan oleh CCM berpaksikan Islam untuk membawa golongan mak nyah kembali ke pangkal jalan.

“Kami berpendapat bahawa pihak yang menganggotai CCM haruslah diwakili golongan terlibat yang telah kembali ke pangkal jalan, bukan golongan aktivis yang secara terang memberi sokongan kepada LGBTQ.

“Pelantikan yang dilihat bagi mewakili golongan mak nyah ini tidak diperjelaskan dari awal oleh Kerajaan sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat di mana Islam merupakan agama rasmi negara.

“Perlantikan ini dilihat seolah-olah kerajaan secara rasminya menghalalkan golongan mak nyah mewakili negara di peringkat organisasi antarabangsa.

“Surat rasmi daripada Kementerian juga menyatakan ‘Puan’ Rania seolah-olah mengiktiraf kebebasan tanpa had hak asasi manusia yang dipelopori barat. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan nilai-nilai ketimuran dan berpaksikan Islam sebagai agama rasmi,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pelantikan mak nyah juga tidak kena pada masanya ketika negara digegarkan dengan video semburit luar tabi’i.

Katanya, kerajaan dilihat tidak berhemah dalam menangani isu ini dan berpendapat CCM harus diwakili golongan yang telah kembali ke pangkal jalan.

“Keputusan yang rasional adalah melantik golongan yang pernah terlibat dengan dadah tetapi sudah pulih dari penagihan dan mahu mengubah kehidupan penagih dadah lain ke arah lebih baik.

“Seharusnya keputusan lebih baik juga dibuat bagi mewakili golongan mak nyah.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia juga menggesa kerajaan menggunakan CCM sebagai serampang dua mata untuk menurunkan kes HIV dan AIDS serta membawa kembali golongan LGBT kembali ke pangkal jalan agar tidak terlibat dengan seks songsang yang menjadi antara penyebab utama HIV dan AIDS,”ujarnya.