CCTV rakam lelaki bertelekung dan curi bag jemaah ketika solat

Oleh KIM SYAZIE

Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki menyamar sebagai jemaah wanita sebelum mencuri beg jemaah di ruangan solat.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan dilihat memasuki ruang solat wanita dan bermundar mandir di bahagian saf belakang.

Dia kemudian mencapai telekung dan menyamar sebagai wanita sebelum mencari peluang untuk mencuri ketika jemaah sedang sujud.

Lelaki berkenaan mengambil salah satu bag yang diletakkan di hadapan sejadah seorang wanita dan membawa lari bag itu.

Wanita berkenaan juga melihat perkara itu lantas bangun dari solat untuk mengejar pencuri, namun dia berbalik semula kerana panik dan kebingungan.

Video asal itu dimuat naik di Facebook Asal Gombak 2.0 hari ini.

“Kejadian awal pagi semalam di Masjid Zaid Bin Haritsah Sungai Mulia Jalan Gombak, ada kes kecurian beg tangan jemaah wanita di dalam masjid tersebut ketika mangsa sedang solat.

Terkutuk sungguh pencuri ini, sampai sanggup pakai telekung! Kepada warga sekitar, sila ambil langkah berhati-hati,” kata pengendali akaun tersebut.

Dalam rakaman tular itu, suspek dilihat berpura-pura seperti jemaah lain yang ingin menunaikan solat.

Baca juga: Nora Danish terharu dapat nikmat Tadarus al-Quran, baca 55 muka surat setiap hari