Tular tahun lepas mengenai video seorang lelaki dikasari satu individu selepas cuba menghantar barang kepada pelanggan di sebuah premis perniagaan sekitar Persiaran Tun Razak, Kuala Lumpur.
Insiden terbabit menaikkan kemarahan orang ramai apabila lelaki tersebut turut mempersoal bahasa Sabah digunakan penghantar barang itu.
Menurut Kosmo, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28, selaku orang kena saman (OKS).
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap OKS selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar jumlah denda ditetapkan, lelaki yang dikenali ramai sebagai ‘abang blazer merah’ boleh dipenjara selama empat bulan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazrul didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Samier Ibruhem, 24, menggunakan kaki dan tangan.
Bagaimanapun peguam Rhastdan Abdul Wahab memohon mahkamah mengenakan denda minimum.
Alasan diberikan adalah kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain penanggung utama keluarga.
Sebelum ini, Muhammad Nazrul tampil membuat permohonan maaf menerusi media sosial dan mendakwa sudah menyelesaikan isu tersebut dengan penghantar makanan terbabit.