Malaysia Dateline

Cegah ceroboh hutan sebelum parah

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim mengingatkan agar kerajaan negeri melakukan usaha pencegahan dan bertindak lebih tegas terhadap pencerobohan kawasan hutan simpan kekal (HSK).

Menurutnya, isu pencerobohan tanah termasuk HSK di Relai Ladang Serasa bukanlah satu isu baharu di negeri tersebut.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sepatutnya bertindak pada tahap permulaan tanpa menunggu lama sehingga terpaksa memusnahkan tanaman kelapa sawit dan ladang yang telah diusahakan dalam kes ladang Serasa.

“Siasatan dan tindakan tegas juga mesti dilakukan terhadap mana-mana individu yang dikenalpasti melakukan aktiviti jual beli tanah secara haram ini.

“Sebarang unsur rasuah dan penyelewengan mestilah dihentikan hingga ke akar umbinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk berwaspada dan beramanah untuk tidak terlibat dengan aktiviti haram menceroboh HSK.

“Mengambil jalan mudah dan mengambil kesempatan atas pembelian tanah haram dengan harga yang rendah hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada kesemua pihak yang terlibat selain mengurangkan khazanah hutan negeri kita untuk kita tinggalkan kepada anak cucu generasi akan datang,” kata Dr Hafidzah.