Cekik rakyat, tadbir urus ekonomi Najib berjenama 4B

Rakyat menolak tadbir urus 4B oleh Najib yang jadi penyebab negara alami defisit fiskal.

Kepincangan tata kelola kewangan negara dengan amalan ‘4B’ mengakibatkan berlakunya defisit fiskal negara, tegas Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, defisit fiskal dialami negara melepasi dua dekad terus meningkat sejak Najib Razak mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pada 2009.

“Najib buat-buat tidak faham perjalanan ekonomi atau mungkin sungguh tidak faham.

“Beliau mengambil jalan mudah untuk mencekik rakyat dengan kenakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan tarik balik subsidi untuk meningkatkan pendapatan negara.

“Mudah ceritanya, Najib jangan mengelirukan rakyat kononnya negara ini mengalami defisit kalau tidak ada GST!

“Dengan tadbir urus ekonomi Najib yang berjenama ‘4B’ (bolot, bocor, boros dan bazir) itu, gunung pun boleh rata,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mengulas dakwaan Najib kelmarin kononnya Malaysia bakal menjadi ‘negara defisit’ jika GST tidak dilaksanakan.

“Kalau beliau (Najib) lupa, Malaysia sudahpun menjadi ‘negara defisit’ dari segi mengalami ‘defisit fiskal’ melepasi dua dekad!

“Najib jangan hendak temberang dan menakut-takutkan rakyat tentang Greece, yang sebenarnya bankrap kerana masalah hutang khasnya yang ‘disembunyi’ macam Najib buat sekarang (contingent liabilty),” ujarnya.

Menurutnya, Najib juga membuat bajet tambahan hampir dua kali setiap tahun sejak 2009 manakala bayaran faedah bunga hutang kerajaan pusat kini mencecah RM30 bilion berbanding RM12.9 bilion pada 2007.

“Ini bersamaan 13 peratus pendapatan negara atau 75 peratus daripada pungutan GST (RM40 bilion). Jadi, pungut GST adalah untuk bayar hutang! Alahai Najib!

“Lalu, Najib jangan bermudah meningkatkan pendapatan kerajaan dengan mengenakan cukai GST yang mencekik rakyat dan sekali gus menarik beberapa bilion daripada subsidi atas barang-barang keperluan rakyat.

“Akibatnya, rakyat terbeban dengan kenaikan kos harga barang dan perkhidmatan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan kesihatan,” jelasnya.

Dr Dzulkefly berkata, berbilion ringgit dalam sejumlah projek pembangunan infrastruktur mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan di luar belanjawan tetapi masih dijamin kerajaan.

“Jumlah hutang seperti ini atau ‘contingent liabiliti’ (CL) kini berjumlah RM226.88 bilion. Ini tetap dikira hutang kerajaan, andainya gagal dibayar.

“Hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbilion ringgit. Contohnya, yang dijamin pinjaman bonnya oleh kerajaan, sekarang ini mesti dibayar oleh kerajaan.

“Jadi, isu sebenarnya adalah disiplin pengurusan kewangan yang jelek dan tempang oleh Najib,” selarnya.

Curang

Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan setiap tahun dengan cara ‘perbelanjaan di luar bajet’ atau ‘off-budget’ atau ‘off-balance sheet spending’ untuk menurunkan angka defisit fiskal nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menyifatkan cara Najib itu sebagai curang, beliau memberitahu hutang kerajaan sebenarnya melepasi had statutori 55 peratus KDNK.

Jelasnya, hutang negara meningkat purata sebanyak 10.8 peratus sejak 2009 manakala pendapatan meningkat hanya pada kadar purata 4.9 peratus setahun.

“Kini hutang kerajaan pusat ialah RM687.43 bilion. Pada kadar 10.8 peratus pertumbuhan hutang, ramalan hutang kerajaan akan mencecah RM1 trilion pada 2021!

“Perbelanjaan pengurusan terus meningkat sejak 2009 dan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri mengambil jumlah sebesar RM20 bilion,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengurus kewangan negara khususnya mengatasi defisit RM25 bilion apabila GST dihapuskan.

“Banyak kaedah untuk menjana pendapatan selain cukai penggunaan, GST. Sudah kerap kami terangkan.

“Sebagai contoh, menutup lubang-lubang kebocoran akan menyelamatkan berbilion ringgit dalam urusan perolehan mega dan perbekalan pembangunan dengan tadbir urus baik seperti telah dibuktikan di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menjelaskan pemansuhkan GST meningkatan pendapatan boleh berbelanja (disposable income) rakyat apabila RM20 bilion yang tidak ‘dirampas’ oleh kerajaan melalui cukai enam peratus itu boleh dibelanjakan.

“Peningkatan permintaan (demand) domestik dan isi rumah akan merancakkan bekalan (supply) oleh industri dan pengilang.

“Ini sekali gus meningkatkan keuntungan korporat dan akhir peningkatan cukai korporat yang lebih tinggi dibayar kepada kerajaan,” tambahnya lagi.

5.5
OVERALL SCORE
3 user votes x 7.3