Cemuhan Rahmatan Lil Alamin tidak lunturkan semangat saya, kata Mujahid

Cemuhan Rahmatan Lil Alamin tidak lunturkan semangat saya, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini menegaskan bahawa segala cemuhan dan tuduhan mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkannya selama ini tidak pernah melunturkan semangatnya.

Jelasnya, beliau yakin gagasan yang berteraskan RAHMAH iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat itu adalah amat penting untuk negara khususnya dalam menyelesaikan isu perkauman dan jurang kaum yang semakin melebar.

“Dasar ini akan membawa Malaysia Baharu kepada satu tahap yang lebih hebat daripada berbagai nuansa-nuansa perkauman, kebencian dan permusuhan yang hari ini merebak seperti virus dalam masyarakat kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Terdahulu dalam ucapannya Mujahid berkata terdapat beberapa pihak yang mendakwa kononnya gagasan itu membawa tafsiran sebagai pendekatan ‘Rahmatan Lil Kafirin’ atau lebih rahmah kepada orang-orang kafir.

Mengulas lanjut, Muhajid berkata penganjuran beberapa program sempena minggu Rahmatan Lil Alamin yang turut menampilkan ahli akademik terkemuka beberapa negara juga turut akan menjawab pelbagai persoalan dan tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak selama ini.

Beberapa acara telah disusun atur sempena minggu Rahmatan Lil Alamin anjuran UIAM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) antaranya khutbah Jumaat khusus membicarakan Rahmatan Lil Alamin hari ini, pelancaran buku Rahmatan Lil Alamin pada 18 Sept ini dan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin pada 19 Sept ini.

Antara ahli akademik yang dijadual membentangkan kertas kerja pada seminar antarabangsa berkenaan ialah Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Prof Dr Afifi Al-Akiti, Rektor Universiti Fatoni, Thailand Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya dan Rektor Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia Prof Dr H Warul Walidin.

Beberapa topik akan dibentangkan seperti ‘Memahami Rahmatan Lil Alamin Secara Syumul, Mutakamil dan Ilmiah’, ‘Hubungan Rahmatan Lil Alamin dan Adab al-Ikhtilaf’ dan ‘Konsep Rahmatan Lil Alamin Dalam Menghadapi Gejala Ekstremisme’.

Terdahulu, Mujahid menyertai kira-kira 1,500 warga UIAM dan MAIWP melakukan aktiviti ‘brisk walk’ sejauh 3.5 kilometer dalam kampus universiti itu selain turut menanam anak pokok sebagai simbolik dalam konsep RAHMAH.

Mujahid turut melancarkan logo Rahmatan Lil Alamin hasil rekaan penuntut Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UIAM, Wan Muhammad Hafiz Wan Zin yang memaparkan elemen seperti bunga raya, daun, dan ‘bouquet wrapper’.