Ceo baru FGV, harapan baru warga Felda?

Ceo baru FGV, harapan baru warga Felda?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

 

 

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) mengalu alukan perlantikan Datuk Zakaria Arshad sebagai Presiden dan CEO baru FGV berkuatkuasa 1 April 2016 lalu menggantikan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah. Beliau yang merupakan anak Peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan, sebelum ini adalah Naib Presiden FGV.

Hari ini dilaporkan, FGV mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM 70.35 juta bagi suku tahun berakhir 31 mei 2016 berbanding keuntungan sebelum cukai untuk tempoh yang sama tahun lalu berjumlah RM 72.88 juta.

Antara alasan yang diberikan ialah susutnya pengeluaran minyak sawit mentah(MSM) sebanyak 14%. Ia bertentangan dengan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim di Parlimen pada 5 april 2016 yang mengatakan laporan kerugian FGV tidak tepat, sebaliknya sedang menikmati keuntungan; hujahnya perolehan FGV 4 bilion, pembayaran dividen dan harga saham waktu itu RM1.71.

ANAK ingin tahu setakat mana perkembangan pembelian ladang Pontian United Plantation Bhd bernilai RM 1.2 bilion yang kononnya membawa pulangan 80,000 metrik tan minyak sawit mentah setahun?

Ia belum mengambil kira 360,000 hektar ladang sawit Felda Plantation yang di pajak selama 99 tahun oleh FGV dan pengambilalihan pengurusan kebun kebun peneroka melalui Felda Holding seluas 508,000 hektar.

Pendedahan YB Rafizi Ramli mengenai pembelian 2 unit kondominium berdekatan KLCC bernilai RM 8.43 juta (pembelian pada 29 sept 2014)adalah sebahagian dari apa yang telah ANAK senaraikan sebelum ini seperti pembelian Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu dan Grand Plaza Services Apartment di London dengan harga RM499.8 juta melalui Felda Investment Corp(FIC).

Bantahan ANAK ura ura pembelian ladang PT Eagle High Plantation seluas 419,000 hektar di bawah Pt Rajawali Corp Indonesia yang dikaitkan dengan Peter Sondakh bernilai AS680 juta(RM2.5 bilion) sebenarnya belum berakhir. Saya dan beberapa rakan telah meninjau sendiri salah satu ladangnya di Kalimantan. Di maklumkan, hanya 147,288 hektar yang di tanam sawit. Itu belum mengambil kira tanah berpasir dan penempatan penduduk di kawasan tersebut. Cadangan pembelian dengan harga terlalu mahal dan tidak ekonomik, masih di tahap rundingan.

Baru baru ini, melalui kenyataan Datuk Zakaria sendiri, FGV dan Lembaga Kumpulan Felda menarik diri dari Sijil Prinsip & Kriteria(P&C) Roundtable on Sustainable Palm Oil(RSPO- Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari)di 58 kilangnya di Malaysia. Apa isu sebenarnya, sedangkan RSPO yang ditubuhkan pada tahun 2004 di anggotai 1000 pertubuhan/organisasi/Syarikat perladangan di 50 buah negara!

Bagaimana kedudukan hutang Felda dengan KWSP berjumlah RM 6.5 bilion? Adakah bayaran balik mengikut jadual dan menggunakan sumber mana?

Juga dakwaan FIC meminjam RM 1 bilion dari institusi kewangan negara ini?

Bagaimana masa hadapan 112,635 peneroka Felda seluruh negara dan isu Perjanjian Tanam Semula kali ke 2, hutang Tanam Semula peneroka yang mencecah RM100,000, perumahan Gen 2, pendapatan tidak stabil kerana potongan yang tinggi kepada peneroka dan musim melawas sawit yang panjang/harga getah yang rendah ?

Apakah isu Wang Tahanan hasil peneroka hingga 50% seperti berlaku di Felda Air Tawar 5 Kota Tinggi bagi mereka yang menguruskan kebun secara persendirian ada kaitan dengan prestasi buruk kewangan Felda/ FGV?

Harga saham FGV hari ini berada pada kadar RM1.34 sesaham, antara yang terendah sejak di lancarkan Jun 2012. Mana dia gembar gembur dan cerita indah yang di jaja selama ini?

Saya tidak tahu apa formula dan pendekatan yang akan di lakukan oleh CEO baru FGV ini. Beliau juga adalah sebahagian team CEO lama, Datuk Emir Mavani.

Hakikatnya FGV sedang melalui saat saat sukar. Apa yang dibimbangi ANAK sejak sebelum penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, benar benar menjadi kenyataan. Peneroka dan kakitangan adalah mangsa dari kerakusan sang penguasa yang diketuai Najib Tun Razak, Isa Samad dan kuncu2nya!

Apa pun situasinya, ANAK bersedia dan akan terus memberi pandangan serta bekerjasama demi menyelamatkan institusi yang 95% di miliki orang melayu ini. ANAK tidak pasti adakah ia seperti pepatah, ‘ menang sorak kampung tergadai’. Semuanya gara gara pemimpin tamak, agenda memperkaya dan mengaut untung dari derita peneroka!

Dasar yang tersasar dari matlamat asal Felda di tubuhkan oleh Tun Abd Razak. Bapa mengagaskan dengan susah payah, anaknya yang menjahanamkan!

SELAMATKAN FELDA, SELAMATKAN MALAYSIA

*Penulis Mazlan Aliman adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)

CATEGORIES