CEO Kaki Review akhirnya minta maaf, akui buat video tegur Jason dalam keadaan marah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengulas makanan dikenali sebagai CEO Kaki Review akhirnya membuat permohonan maaf terhadap pempengaruh popular, Jason selepas sebulan konflik di antara mereka mula timbul.

Permohonan maaf tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video berdurasi 36 saat dimuat naik di platform TikTok selepas pengulas makanan terbabit menghantar pesanan secara terus (DM) kepada Jason.

Jelas CEO Kaki Review, perkongsian video teguran kepada Jason yang dimuat sebulan lalu sehingga menimbulkan konfik di antara mereka sebelum ini sebenarnya dirakam ketika dirinya dalam keadaan marah.

“Assalamualaikum, aku CEO Kaki Review. Sebelum ini aku ada DM Jason secara peribadi bagi meminta maaf kepada dia. Aku mengaku kesilapan dan juga kesalahan diri ini ke atas dirinya.

“Hal ini kerana ketika buat video tempoh hari, aku berada dalam keadaan tengah marah. Jadinya aku tak dapat nak mengawal emosi,” katanya dalam perkongsian video yang sudah meraih mencecah 400,000 tontonan itu.

@ceokakireview

assalammualaikum,ak ceo kaki review dengan rasa rendah diri,aku ingin mohon maaf pada jason dengan apa yang berlaku sebelum ni..haritu aku emosi,aku tak kawal..aku minta maaf jason..

♬ original sound – KAKI REVIEW 🇲🇾 – KAKI REVIEW 🇲🇾

Dalam hantaran yang sama, pengulas makanan terbabit turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan seperti itu sekali lagi selain memohon maaf kepada para pengikut Jason.

Video tersebut turut berjaya mencuri perhatian daripada Jason yang kemudiannya memberi respons balas dengan menerima permohonan maaf oleh pengulas makanan itu selain turut mengucapkan selamat berbuka kepadanya.

“Saya berjanji bahawa perkara ini tak akan berulang lagi. Saya juga mahu memohon maaf kepada semua pengikut Jason. Salam Ramadan.” Kongsi pemuda terbabit dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, CEO Kaki Review menjadi sasaran kecaman orang ramai yang tidak bersetuju dengan pendapatnya ekoran berpandangan Jason terlalu jujur dalam membuat ulasan makanan hingga boleh melingkupkan peniagaan.

Baca juga: Lelaki hidap HIV mengaku mencabul di bazar Ramadan kerana dah lama tidak ‘bersama’ dengan wanita