CEO Karangkraf nafi keluar kenyataan berkaitan Dr Kamarul

CEO Karangkraf nafi keluar kenyataan berkaitan Dr Kamarul

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menafikan laporan berita Malaysia Dateline yang bertajuk “Kenapa marah Sinar, tanya CEO Karangkraf pada Dr KY”

Hussamuddin semalam, dipetik berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff (Dr KY) selepas wacana bertajuk “Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM?” menjadi tumpuan negara sejak 22 April lalu.

“Saya hanya share tulisan seorang rakan Facebook, Mohamad Fauzi Nordin berhubung isu ini.

“Saya harap salah faham ini dapat diperbetulkan,”katanya seperti dilaporkan.

Sementara itu, Mohamad Fauzi, 59, ketika dihubungi Sinar mengesahkan mengeluarkan kenyataan berkenaan di Facebook beliau.

Mohamad Fauzi yang merupakan pembaca akhbar Sinar Harian mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menyatakan pandangan beliau setelah video wacana menjadi viral di media sosial dan aplikasi Whatapps.

Bagaimanapun Malaysia Dateline telah menarik keluar berita tersebut pada hari sama, selepas dimaklumkan oleh pihak Sinar kenyataan itu bukan dari Hussamuddin.