Malaysia Dateline

CEO LHDN ditamatkan kontrak: Apakah Najib bakal terlepas bayar cukai RM1.7 bilion?

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tidak menolak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal terlepas daripada membayar cukai RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini kerana katanya, kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Sabin Samitah yang kini sedang mempertahankan kes tuntutan cukai itu akan berakhir esok.

“Saya sangat terkejut kontrak beliau ditamatkan padahal Disember 2020 Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah menyambung kontrak beliau selama dua tahun dan berakhir pada Disember 2022.

“Esok lembaga pengarah LHDN akan membuat pengumuman berkenaan perkara tersebut,” kata beliau.

Daripada sumber dalaman LHDN, menurut Mahfuz Sabin adalah seorang yang jujur dalam mempertahan kes tuntutan mendapatkan semula RM1.7 bilion yang dilarikan oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

“Melalui sumber dalaman, beliau sangat tegas untuk tidak bertolak ansur dalam kes Najib.

“Kalau ini perkara benar seperti yang diperkatakan sumber, ini satu amat malang kepada kita kerana kita akan kehilangan CEO yang boleh mendapat kembali hasil negara melalui cukai yang dilarikan oleh seorang bekas perdana menteri,” katanya.

Beliau bimbang, apabila CEO yang baru dilantik nanti dan membuat keputusan sebaliknya sudah tentu berkemungkinan Najib terlepas daripada membayar kepada LHDN.

Katanya negara akan hilang hasil negara yang boleh dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

Justeru Mahfuz meminta menteri kewangan jelaskan kenapa CEO ini ditamatkan kontrak padahal Zafrul yang melanjutkan kontrak Sabin.

“Malang rakyat negara ini orang yang larikan cukai mungkin bakal terlepas membayar cukai, sedih apa yang berlaku, negara ini sudah kembali ke kleptokrat semula.

“Jelas kerajaan Ismail adalah legasi kepimpinan kerajaan gagal Mahiaddin.

“Saya harapkan CEO yang baru mampu mempertahankan keputusan dan tidak berganjak daripada untuk bersekongkol menggugurkan kes rayuan Najib,” katanya.