Susulan kemerosotan jualan globalnya, rangkaian restoran makanan segera McDonald’s dilaporkan meletakkan kesalahan itu kepada negara-negara yang ramai penduduk Islam kerana menjalankan boikot terhadap mereka.
McDonald’s mengalami kemerosotan jualan sebanyak satu peratus bagi suku-ke-suku dan menyalahkan permintaan yang rendah, terutama di Perancis, Timur Tengah dan China.
Menurut CEO McDonald’s, Chris Kempczinski, kemerosotan jualan di China berpunca daripada sentimen pengguna secara keseluruhan, namun kemerosotan di Perancis disebabkan oleh “populasi Muslim yang lebih tinggi”.
“Dan jadi jika anda ambil kira Timur Tengah, kita lihat impak yang lebih di Perancis berbanding di pasaran lain kerana populasi itu.
“Jadi banyak perkara yang sedang dilihat oleh pasukan kita, berkenaan ‘bagaimana kita dapat pastikan yang kita sampaikan cerita kita dari sudut pandang pemasaran di peringkat tempatan?'” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Perancis adalah ekonomi ketiga terbesar di Eropah selepas Jerman dan United Kingdom, dan kira-kira 10 peratus penduduknya beragama Islam.
Selain kemerosotan jualan di peringkat global, syarikat itu turut mengalami kemerosotan hasil sebanyak 0.7 peratus dengan kenaikan harga tidak dapat mengatasi kesan penurunan pelanggan yang masuk ke restoran, menurut Fortune lagi.
Restoran itu menjadi sasaran boikot selepas pemilik francais di Perancis memberikan makanan percuma kepada askar Zionis beberapa hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang sehingga kini meragut lebih 40,000 rakyat Palestin.
McDonald’s di Malaysia turut menjadi sasaran boikot. Pemilik francais Gerbang Alaf Sdn Bhd – yang merupakan milik penuh orang Islam – menafikan sebarang perkaitan dengan Israel.