CEO persatuan insurans terkejut hospital caj RM18,837 untuk satu malam, terima bil 13 muka surat!

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell terkejut apabila menerima bil sebanyak 13 muka surat dari sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

O’Dell yang ‘menginap’ di hospital swasta berkenaan selama satu malam juga tidak menyangka akan dikenakan bayaran berjumlah RM18,837 selepas menjalani sesi pembedahan kecil.

Perkara itu didedahkan oleh O’Dell yang mempunyai pengalaman lebih dari 44 tahun di dalam industri insurans hayat dalam satu sesi temu bual eksklusif bersama CodeBlue.

Bil 13 muka surat yang dikeluarkan pada 28 Mei lalu itu turut didedahkan menerusi laman Facebook Code Blue di mana banyak caj yang dikenakan langsung tidak difahami sepenuhnya oleh veteran industri insurans berkenaan.

“Bagaimanakah prosedur yang mudah dengan tinggal di hospital satu malam boleh menghasilkan bil 13 muka surat? Memang anda boleh melihat semua butiran caj, tetapi saya tidak faham beberapa perkara yang tersenarai.

“Bagaimanakah saya sebagai seorang pengguna, boleh memahami apakah perkara yang memang saya perlukan dan perkara yang tak perlu? Cara ini tidak betul,” katanya memetik laporan CodeBlue.

Difahamkan, O’Dell menjalani pembedahan hernia kecil di hospital swasta berkenaan namun veteran insurans terbabit enggan menamakan pusat perubatan yang merawatnya Mei lalu itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif AIA dan Manulife Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Taiwan itu khuatir sekiranya hospital swasta mengenakan caj sewenang-wenangnya ekoran tiada kawalan dikenakan ke atas bil perubatan.

“Pembedahan artroskopi ini memanglah prosedur yang hebat. Mereka tidak perlu membedah anda malah proses penyembuhan juga lebih cepat. Mungkin itu sebabnya kos menjadi lebih tinggi.

“Tetapi beberapa caj yang tersenarai seperti tiga alas pakai buang berharga RM32.70, penutup ‘probe’ telinga bernilai RM6.30. Harga barang ini tidak dikawal selia. Boleh sahaja mereka menaikkan harganya esok,” ujarnya.

O’Dell yang juga penduduk tetap di Malaysia itu turut berkongsi kebimbangan bahawa pihak hospital swasta mungkin menaikkan kos untuk pesakit yang memiliki polisi insurans.

“Jika pesakit memiliki insurans, doktor mungkin bebas memesan (ubat) apa sahaja yang difikirkannya wajar. Tetapi bagaimanakah jika pesakit tidak betul-betul memerlukannya?.” Kongsinya meluahkan kekesalan.

Baca juga: Dakwa Pengarah Pendidikan Kedah ada agenda politik, Azli Yusof tegur mulut celupar Sanusi