CEO Petronas, Wan Zulkiflee antara 100 tokoh terbaik Brand Guardians

CEO Petronas, Wan Zulkiflee antara 100 tokoh terbaik Brand Guardians

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin tersenarai antara 100 tokoh global terbaik Brand Guardians 2019 oleh Brand Finance, badan penilai jenama terkemuka dunia.

Petronas berkata Wan Zulkiflee tersenarai pada kedudukan ke-95 dunia oleh badan penilai itu.

“Beliau menerima pengiktirafan itu berdasarkan kepimpinannya yang berwawasan, pengurusan yang bijak dan rekod prestasi yang berjaya memimpin syarikat minyak dan gas nasional itu ke hadapan ketika tempoh yang bergelora dan mencabar sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan nilai jenama portfolio syarikat terkemuka dunia yang dipetik daripada Brand Finance Global 500 2019, penilai kedudukan baharu CEO mengukur sejauh mana prestasi mereka sebagai pengurus jenama.

Penyenaraian Wan Zulkiflee buat kali pertama dalam kedudukan 100 terbaik itu melengkapkan kedudukan Petronas dalam senarai 500 jenama paling bernilai di dunia, kepada tangga 127 dari tangga ke-132 pada 2018,” kata Petronas.

Tokoh lain yang tersenarai termasuk Jeff Bezos dari Amazon, Sundar Pichai dari Google dan  Ben Van Beurden dari Shell.

— BERNAMA