Cepat menghukum orang berbeza pandangan, kenyataan Abdul Hadi dilihat bongkak?

Oleh MAISARAH AISYA

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa partinya itu tetap beristiqamah bersama Islam yang berkuasa dan menolak pihak yang dilabelnya sebagai ‘Islam sekular yang tidak berkuasa’.

Kenyataan tersebut bagi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat sebagai bongkak dan sombong.

Memetik MalaysiaKini, Saifuddin melihat Abdul Hadi terlalu senang melabel mereka yang tidak sependapat dengannya.

“Kenyataan baru Abdul Hadi membuktikan beliau sangat mudah menghukum orang yang berbeza pandangan sebagai zalim dan sekular dan sebelum ini (mereka digelar) munafik dan kafir. Ini amat dikesali.

“Presiden Pas dan ahlinya sekarang menganggap mereka ada kuasa mutlak menghukum orang.

“Ini pemikiran Khawarij yang berbahaya kerana jika kita merujuk sejarah, kumpulan sebegitu boleh bertindak secara ekstrem sehingga membunuh pihak yang tak setuju dengan mereka.

“Pemikiran ekstremisme seperti ini wajar ditolak umat Islam termasuk kita di Malaysia,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Abdul Hadi menerusi kenyataan di Facebook bagaimanapun tidak memetik mana-mana pihak namun mengingatkan orang ramai mengenai peristiwa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Walaupun Abdul Hadi dilihat cuba memberi justifikasi mengapa Pas menolak cadangan Agong namun ia tetap dilihat sebagai bongkak dan sombong.

“Justifikasi Abdul Hadi juga penuh bongkak dan sombong.

“Justeru saya mengajak Abdul Hadi menginsafi asas perpaduan sesama Muslim ialah mengucap syahadah.

“Asas perpaduan Muslim dan bukan Muslim pula ialah menjaga kepentingan bersama.

“Contohnya menjaga keamanan negara, keharmonian dalam kalangan rakyat, memakmurkan ekonomi dan lain-lain. Ini semua adalah kepentingan bersama,” ujarnya.

Baca juga: Mahiaddin mohon pelepasan pasport, mahu hadir perasmian restoran di Bangkok selaku ‘pemimpin negara’?