Cerai 2 kali, Yusof Haslam titip semangat buat Syamsul, harap tak serik nak kahwin lagi

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya setiap ibu bapa mahukan pasangan yang baik buat anak-anak dan mesti semua tidak mahu perkahwinan berakhir dengan penceraian.

Dua kali perkahwinan berakhir di tengah jalan, kisah pengarah dan pelakon Syamsul Yusof sering menjadi bualan ramai.

Sebagai bapa, penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam akui lega melihat Syamsul lebih tenang dan menasihatkannya untuk tetap semangat lapor Kosmo! Online.

“Sekarang alhamdulillah dia nampak sekarang lebih fokus. Saya perhati proses penggambaran filem The Original Gangster ambil masa lama, mungkin disebabkan banyak masalah dalam hidup dia sebelum ini.

“Dia pun saya lihat sudah semakin bersemangat cuma berat badannya sedikit turun dan nampak kurus.

“Saya pesan pada Syamsul, apa yang berlaku sekalipun dia kena kuat semangat,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama, Yusof menasihatkan Syamsul mencari pasangan yang sesuai namun anaknya itu memilih untuk fokus pada karier.

“Tiada makna cari duit dan kaya tapi hidup seorang diri. Nanti akan rasa bosan.

“Saya pesan juga agar bina hidup baharu dan jangan hidup seorang diri tapi dia kata nak kekal solo buat sementara ini. Katanya nantilah dan nak fokus kerja, dia pun ada dua lagi projek filem lagi.

“Saya kata cari pasangan, hidup ini kalau tiada pasangan, tak ada makna. Paling penting dalam kehidupan ialah ketenangan dan bukannya kemewahan.

“Saya tidak rasa Syamsul serik untuk mempunyai pasangan pada masa akan datang namun sebagai orang tua, saya doakan dia mendapat jodoh yang baik,” tambahnya.

Baca juga: “Tipulah kalau kata saya tak nak masuk Malaysia. Tetapi buat masa sekarang..” – Sajat