Ceria anak yatim Syria bermain anak patung Amanah

Ceria anak yatim Syria bermain anak patung Amanah

Kegembiraan yang terpancar di air muka anak-anak yatim Syria sebaik menerima buah tangan patung mainan daripada sukarelawan Parti Amanah Negara (Amanah) mengubat segala keletihan dan kepayahan perjalanan ke bandar Hatay berhampiran sempadan Turki-Syria.

Misi Amanah yang diketuai Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam Amanah Nasional Ustazah Mariam Abdul Rashid sampai di Istanbul pada 21 Februari lalu.

Setibanya mereka di Istanbul, rombongan Amanah dibawa melawat ke Rumah Anak Yatim Darul Aytam yang menempatkan 27 anak yatim mangsa perang Syria.

Ustazah Maryam menyerahkan cenderahati kepada wakil Al Omari Society For Orphans ketika menziarahi rumah anak yatim Syria di Istanbul.

Mereka kemudian bergerak ke selatan Turki ke bandar Hatay berdekatan sempadan Syria bagi melawat Hospital University Hatay yang menempatkan kanak-kanak mangsa perang yang hilang anggota dan ke rumah penduduk miskin pelarian Syria.

Rombongan Amanah turut melawat sekolah khas yang menempatkan anak-anak pelarian Syria di Hatay dan menziarahi rumah anak yatim Darul Aytam Attoyyibah di Rayhanli, Hatay untuk menyampaikan sumbangan.

Anak yatim ini ceria bermain dengan anak patung yang disumbangkan sukarelawan Amanah.

Rumah ini turut menempatkan 25 orang pelarian yang sakit dan hilang anggota.

Pengendali rumah anak yatim tersebut, Al Omari Society For Orphans mengucapkan setinggi penghargaan kepada Amanah atas bantuan dan sokongan yang diberikan.

Presidennya, Omar al Mousa berkata, pelbagai projek telah dilaksanakan bagi meringankan penderitaan dan kesakitan yang ditanggung anak-anak yatim Syria.

Setiap anak yatim Syria memerlukan bantuan USD50 sebulan bagi membiayai makanan, ubatan dan pendidikan mereka di Turki.

Ustazah Mariam bermesra dengan anak-anak yatim Syria ketika berkunjung ke Hatay.

TAGS