Malaysia Dateline

‘Cerita dulu’ sumber kekuatan akal budi pemacu kemajuan diri

Ada seorang rakan sekolah lama saya memberi komentar, “Dulu punya cerita tidak penting, tinggal sejarah, sekarang zaman duit” apabila saya membangkitkan isu bagaimana kehebatan bangsa Melayu berserta khazanah budaya dan bahasanya membangunkan peradaban.

Malangnya, hari ini, satu iklan pusat tuisyen di Kota Damansara, Selangor mengeja mata pelajaran pun sebagai ‘Science’ dan ‘Mathematic’ tetapi boleh pula menulis ‘Bahasa Inggeris’, tidak pula ‘English’.

Saya menganggap reaksi rakan saya seorang jurutera dalam bidang industri minyak dan gas (O&G) itu sekadar mengusik kerana jika ‘cerita dulu’ hanya tinggal sejarah, tentulah syarikat televisyen berbayar, Astro Malaysia Holdings Bhd tidak menyediakan saluran 321 Celestial Classic Movies secara percuma.

Jika ‘tidak penting’, buat apa Astro yang mencatat keuntungan bersih sebanyak RM176.19 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2019 memutarkan kembali filem-filem lama Cina yang kebanyakan bertemakan kungfu dan opera?

Premis hujah, ‘sekarang zaman duit’ untuk menghalalkan pengabaian bahasa Melayu juga tidak kena dengan sambutan orang ramai terhadap filem ‘Ejen Ali: The Movie’ dan sebelum itu, ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’.

Walaupun mengggunakan ‘The Movie’ sebagai antara judul, ‘Ejen Ali’ yang menggunakan bahasa Melayu meraih kutipan pecah panggung RM25 juta selepas hanya kira-kira tiga minggu ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kalau berpegang pada fahaman ‘sekarang zaman duit’, filem Upin & Ipin yang berbahasa Melayu dengan latar murni desa itu tentu tidak mampu mencatat kutipan panggung sebanyak RM26 juta. Jelas, bahasa Melayu sebenarnya mampu menjana duit jika itulah yang sangat dihajatkan.

Atau adakah jika ada nanti filem animasi kanak-kanak Malaysia yang berbahasa dan berjiwa ‘orang putih’ mampu memenangi Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada?

Soal peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara bukan masalah baru muncul sejurus Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya. Hanya gejala penghinaan terhadap bahasa yang diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan semakin meluas.

Lihat saja pola penamaan kawasan perumahan baharu di “Bandar Seri Coalfields” dan “Kota Emerald” di Selangor, contohnya. Kebanggaan apa mahu dibawa untuk 10, 50 tahun akan datang dengan nama sekerat berciri nasional, sekerat anti nasional?

Mustahil penguasa negeri warganegara Amerika juga pegawai tinggi di pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah tidak berkuasa lagi agaknya dalam usaha mengangkasa bahasa Melayu.

Umang-umang budaya

Hakikatnya, ‘cerita dulu’ yang menjadi sejarah itulah patut jadi pegangan. Itulah sumber kekuatan peribadi dan akal budi. Kita mahu menjadi bangsa maju bersama kekayaan nilai budaya dan jati diri yang kita miliki.

Sebaliknya, kita akan jadi bangsa hina jika sanggup menjadi umang-umang budaya memakai bahasa orang lain untuk gah diperaga di tubuh sendiri.

Mari kita semak sedikit sejarah sejauh mana ‘cerita dulu’ itu tidak penting. D. F. Draeger pada 1972 sudah memberitahu dunia bahawa orang Melayu yang menjadi pembuat keris atau pandai besi mempunyai ilmu tentang sifat logam dan bahan kimia.

Penciptaan keris terawal dikatakan sejak awal abad ke-14 kerana pada kurun itu, boneka wayang kulit sudah mula ‘dipakaikan’ keris.

Ini bermakna kira-kira 700 tahun lampau, orang Melayu dengan akal budi bahasa Melayunya sudah subur pengetahuan ilmu sains mereka berkaitan ciri dan sifat logam.

Bukan sekadar keris, catatan Tome Pires ada menulis tentang penemuan 3,000 laras lela dalam Kota Melaka. Sumber Portugis juga menyebut orang Melayu Minangkabau sudah membuat dan menggunakan meriam pada awal abad ke-15 lagi.

Masjid Agung Demak di Pulau Jawa yang dibina pada tahun 1479 dengan bentuk bumbung berupa tiga lapis cangkup berserta tunjuk langit di puncaknya bukti wilayah Nusantara ini bukan biasa-biasa lantaran sudah menguasai teknologi seni bina.

Bukan sahaja di darat, bangsa Melayu juga menguasai ilmu sains samudera sesuai dengan sifat wilayah maritim dihuninya.

Ungkapan “tanah air” yang sehingga hari ini kita gunakan juga cerminan penguasaan ilmu dan limpah cinta bangsa Melayu terhadap indah nian lagi kaya darat dan lautan yang didiaminya.

Bangsa Melayu adalah pelaut dan pedagang yang merentas samudera dengan jong sebagai kapal tradisi bangsanya. Keterbukaan wilayah didiami bangsa Melayu itu sendiri menjadikan anak cucu cicit piutnya hari ini rata-rata bersifat inklusif, berlapang dada dan berfikiran terbuka jauh sama sekali dari sifat rasis.

Bahkan, dua dokumen Cina dari abad ke-3 Masihi dan ke-8 Masihi telah menyebut tentang kapal bo atau jong milik orang Kun Lun (Asia Tenggara) yang memiliki panjang 50 hingga 60 meter dengan mampu membawa 3,000 hingga 5,000 orang bersama 250 hingga 1,000 tan muatan!

Tentunya orang Melayu sejak dahulu sudah menguasai ilmu fizik juga ilmu lautan sehingga mampu menghasilkan kapal bersaiz gadang yang mampu menempuh ombak dan gelombang lautan.

Sayangnya, bukan sedikit rakyat Malaysia hari ini yang memandang rendah terhadap bahasa Melayu yang menyimpan banyak ilmu. Satu pihak, perasan ‘urban’ dengan menganggap apa saja dari Barat adalah terbaik manakala satu golongan lain fobia Melayu.

Padahal, Melayu dan bahasanya diminati bangsa-bangsa dari negara maju sejak ratusan tahun lalu. Misalnya, L.A. Mervart (1888-1965) yang bekerja dalam lapangan etnologi adalah pakar penyelidik bahasa dan sastera Melayu pertama di Rusia.

Jika Mervart masih hidup hari ini, tentu dia mentertawakan orang Melayu dan “bangsa Malaysia” yang kononnya sudah 62 tahun merdeka menulis ‘Science’ dan ‘Kota Emerald’.

*Artikel ini pertama kali disiarkan di akhbar Mingguan Amanah, Edisi 183, 29 Disember 2019-4 Januari 2020.