Malaysia Dateline

Cerita Kak Wan dari kacamata bekas kakitangannya

Nama Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail bukanlah asing di arena politik tanah air. Keupayaan berpolitik beliau mengangkat namanya setaraf dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain.

Saya mula mengenali susuk wanita besi ini sekitar 20 tahun lalu, tentunya ramai yang menjadikan beliau sebagai idola kerana kecekalan dan pengahayatannya dalam mendepani badai dan taufan.

Kisah pengorbanan dan ketabahannya bukanlah asing, sehingga menjadi bualan dan aspirasi perjuangan buat ramai orang.

Ketika itu saya masih di bangku sekolah menengah, pemecatan suami beliau Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri, mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bermula tahun 1998.

Keluarga saya tidak terkecuali, bapa saya memilih untuk tinggalkan parti Umno untuk bersama dengan perjuangan Reformasi dan menjadi penggerak kepada Parti Keadilan Nasional bahagian Titiwangsa.

Ketika itulah saya mula mengenali sosok wanita hebat bernama Wan Azizah.

SIAPA WAN AZIZAH

Berkelulusan dalam bidang perubatan Ophthalmologist dari Royal College of Surgeons, Ireland, beliau turut cemerlang dalam Obstetrics dan Gynaecology.

Ibu kepada enam cahaya mata ini pernah berkhidmat sebagai doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur selama lebih 14 tahun.

Setelah suaminya dilantik sebagai timbalan perdana menteri, beliau mula menumpukan kepada kerja-kerja bakti dan sukarelawan.

Beliau pernah bergerak aktif bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan kemudiannya beliau mula menceburi bidang politik setelah suaminya dipenjara.

Beliau adalah isteri kepada tokoh politik hebat, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

KARIER POLITIK

Langit tidak selalunya cerah, setelah suami beliau dipenjarakan kerana fitnah politik, beliau mula bangkit sebagai wanita tabah mendepani segala pahit getir.

Mengambil alih peranan suaminya, beliau diangkat sebagai presiden pertama Parti Keadilan Nasional (PKN) pada tahun 1999.

Tahun 2003 menyaksikan beliau berjaya menggabungkan PKN dan Parti Rakyat Malaysia menjadi satu parti yang kuat bergelar Parti Keadilan Rakyat.

Pilihanraya Umum ke 11 tahun 2004 menyaksikan Keadilan hanya tinggal satu kerusi parlimen iaitu Permatang Pauh yang diwakili oleh Wan Azizah.

Walaupun beliau wakil tunggal Keadilan di parlimen, tidak sedikit pun melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dengan lantang bagi mengangkat suara rakyat.

Beliau seterusnya berperanan sebagai presiden parti selama lebih 20 tahun tanpa dicabar dan menjadikan beliau sebagai wanita pertama berkhidmat paling lama sebagai presiden sebuah parti politik.

Kreadibiliti beliau dalam mengurus tadbir perjalanan parti tidak boleh disangkal lagi. Keadilan berjaya bertahan lebih 20 tahun dibawah kepimpinan beliau walaupun terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri.

Tahun 2008 menyaksikan satu lagi sejarah terlakar dalam perjalanan politik negara. Wan Azizah dilantik sebagai ketua pembangkang wanita pertama di parlimen.

Beliau kemudian meletakkan jawatan sekaligus mengosongkan kerusi permatang pauh bagi memberi laluan kepada suami beliau untuk bertanding.

Kemudian beliau sekali lagi dilantik ke jawatan sama pada tahun 2015.

Beliau berjaya memikul tanggungjawab berat sebagai ketua pembangkang setanding dengan penyandang-penyandang sebelumnya.

Tahun 2015 juga menyaksikan penubuhan Pakatan Harapan yang terdiri dari gabungan empat buah parti politik. Beliau seterusnya telah dipilih sebagai Presiden gabungan PH.

Kebolehan dan rekod cemerlang beliau akhirnya melayakkan dirinya untuk bergelar timbalan perdana menteri.

TIMBALAN PERDANA MENTERI

Kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan rejim kleptokrasi Barisan Nasional pada pilihanraya 2018 mencatat sejarah besar negara.

Sejarah sekali lagi terukir apabila Wan Azizah dilantik sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama untuk sebuah kerajaan baru.

Sebagai timbalan perdana menteri, beliau turut mengetuai beberapa agensi penting negara seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sebagai pengerusi NADMA, beliau berjaya membuktikan kecekapan ketika menguruskan bencana banjir dan krisis wabak Covid-19 yang melanda negara.

Turun ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan kemudian menyelaraskan bantuan, adalah tindakan pantas yang biasa beliau lakukan.

Dalam usaha beliau bagi menangani wabak Covid-19, beliau telah mewujudkan jawatankuasa khas yang terdiri dari pelbagai agensi dan kementerian.

Beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas secara konsisten bagi menyelaras tindakan-tindakan yang perlu diambil.

Tidak sekadar memegang jawatan timbalan perdana menteri, beliau juga diamanahkan untuk menyandang poftfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan teliti dalam mencapai sasaran kerja. Beliau akan sentiasa memastikan semua tugasan dan gerak kerja disempurnakan dengan sebaiknya demi mencapai prestasi yang cemerlang.

Tentunya untuk melicinkan perjalanan pentadbiran di kedua-kedua kementerian beliau perlu melantik ramai kakitangan untuk membantunya.

Disinilah peranan saya bermula sebagai Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri untuk membantu Wan Azizah.

PEGAWAI KHAS DAN SETIAUSAHA AKHBAR

Setelah sekian lama berkecimpung dalam dunia politik dan aktivis, saya tidaklah berasa kekok ketika kali pertama melangkah masuk ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Terlebih lagi sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, saya telah lama mengenali Wan Azizah sebelum beliau bergelar timbalan perdana menteri lagi.

Kelebihan dan pengalaman politik ini memudahkan saya untuk berperanan dengan lebih baik sebagai kakitangan beliau.

Tugas saya tidaklah begitu berat jika nak dibanding dengan pegawai-pegawai lain ketika itu. Saya diamanahkan untuk menjalankan tugas-tugas khas penerangan dan strategi media.

Strategi media ini termasuklah mengawal selia semua akaun peribadi media sosial beliau seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan kepada umum semua aktiviti dan gerak kerja seharian beliau melalui platform media sosial.

Saya perlu memastikan semua usaha dan hasil kerjanya sampai ke pengetahuan umum kerana beliau sangat dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja.

Memandangkan saya diantara pegawai khas yang datang dari parti politik, saya juga sering diminta untuk menulis ucapan-ucapan politik beliau.

Memahami lenggok bahasa beliau yang bersahaja dan suka berterus terang, memudahkan penulisan saya.

Beliau tidak gemar menggunakan lenggok bahasa yang terlalu berbunga-bunga dan berkias sebaliknya beliau lebih fokus untuk menyampaikan sesuatu perkara secara terus terang dan berfakta.

Kebiasaanya setiap ucapan yang telah siap dirangka, saya akan serahkan kepada beliau untuk disemak. Seterusnya beliau akan meneliti baris demi baris kemudian memindanya dengan fakta dan gaya bahasa yang lebih berkesan.

Sebagai bos, beliau sangat mudah didekati dan tidak mudah melenting jika terdapat kesilapan dalam hasil kerja saya.

Disinilah saya dapat belajar lebih banyak dan secara tak langsung saya dapat mengenali beliau dengan lebih dekat.

Mungkin kerana beliau melihat saya sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas, akhirnya saya dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Akhbar.

Berpindah dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri, saya dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebagai Setiausaha Akhbar tentunya tugas saya bertambah berat dan saya perlu lebih kerap mendampingi beliau berkait dengan hal-hal kerja.

Seperkara yang membuatkan saya memandang tinggi keperibadian beliau adalah beliau sering mengingatkan saya untuk tidak bermegah-megah dengan kedudukan yang ada.

Beliau sering mengingatkan saya bahawa jawatan dan kedudukan adalah amanah dan tanggungjawab yang bersifat sementara.

Kita akan disoal di akhirat kelak jika kita tidak amanah dalam menjalankan tugas. Jujurlah dalam bekerja dan bersungguhlah dalam menjalankan tugas.

Maka tidak hairanlah jika beliau yang bergelar timbalan perdana menteri, sering dilihat berserderhana dalam semua segi.

KEPERIBADIAN KAK WAN

Walaupun menjawat jawatan orang nombor dua negara, beliau tidak pernah sesekali bermegah dengan kedudukannya.

Memiliki keperibadian yang sangat tinggi, sopan dan bersahaja, sepanjang pengetahuan saya beliau tidak pernah melebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara.

Dari cara berpakaian sehinggalah nada percakapan, semuanya tampak sederhana.

Malah kasut yang dipakai hanyalah berjenama “Bata” dan beliau selesa memakainya.

Menyebut dirinya sebagai “Kak Wan” adalah perkara biasa baginya. Itulah imej Kak Wan, bersederhana dan santai, mudah didekati dan didampingi.

Beliau turut mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan hampir setiap hari beliau akan menasihati saya untuk turut menjaga kesihatan berikutan saiz badan saya yang sedikit besar.

Namun cara teguran beliau yang bersahaja dan santai, membuatkan saya tidak pernah mengambil hati malah mendorong saya untuk turut mengamalkan apa yang beliau sarankan.

Amalan beliau untuk solat tepat pada masa dan berzikir bila ada masa terluang, adalah sesuatu yang sangat saya kagumi.

Walau dalam keadaan santai mahupun sempit, tasbih kecil tetap terselit dijarinya.

Dibawa bersamanya kemana-mana adalah sarung tangan yang akan dipakai bila perlu bersalaman dengan orang ramai.

Mengatur jadual aktivinya, waktu solat dan tempat solat akan sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau juga dikenali dengan sikap lemah lembut tetapi tegas. Beliau jarang menzahirkan perasaan marah sebaliknya beliau kawal dengan sebaiknya.

Pernah satu ketika saya mengikuti lawatan rasmi timbalan perdana menteri ke negeri Melaka, sewaktu dalam perjalanan pulang pemandu beliau terlupa untuk mengisi minyak kereta.

Bayangkan kereta rasmi TPM terpaksa berhenti di tengah-tengah lebuhraya kerana kehabisan minyak.

Bila kenderaan beliau terhenti, semua kenderaan pengiring, polis, keselamatan dan pegawai turut berhenti sama.

Saya turun dari kenderaan dan terus menghampiri kenderaan beliau, ternyata beliau tidak sedikit pun marah pemandu beliau sebaliknya beliau tetap mengukir senyuman dan kelihatan tenang.

Saya menawarkan kenderaan yang membawa saya untuk dinaiki beliau dan saya tumpang kenderaan pengiring yang lain.

Perkara pertama yang beliau minta selepas bertukar kenderaan adalah berhenti di stesen minyak berhampiran.

Konvoi yang membawa TPM kembali bergerak menghala ke sebuah stesen minyak berhampiran.

Setibanya di stesen minyak, beliau turun dan terus bergegas ke surau untuk menunaikan solat maghrib.

Sesudah itu beliau berpesan, jika datang ujian kepada kita samada besar mahupun kecil, sentiasalah berdoa kepada Allah kerana Allah sebaik-baik penolong.

Itulah Kak Wan. Walau dalam segetir mana sekalipun, beliau tetap ingat Allah dengan sifat tenang dan sabar.

PENGKHIANATAN KERAJAAN PINTU BELAKANG

Percaturan siapa PM, dan siapa TPM menyebabkan PKR kurang menumpukan kepada kepaduan pembangkang. (kiri) Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohd Azmin Ali,Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebagai Setiausaha Akhbar yang juga ahli politik, saya sering terlibat dalam acara-acara rasmi mahupun acara-acara politik.

Dua hari sebelum kerajaan Pakatan Harapan dikhianati, saya turut mengiringi beliau ke Mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Al-Bukhari.

Saya tahu mesyuarat itu sangat tegang dan runcing. Ketika beliau mencuri masa keluar sekejap, saya sempat bertanya keadaan perjalanan mesyuarat.

Walaupun mesyuarat itu berlangsung tegang, beliau dengan nada tenang menyebut kepada saya supaya berdoa dan tawakkal. InsyaAllah semuanya akan jadi baik. Kata beliau kepada saya.

Begitulah cara beliau berhadapan dengan tekanan. Pagi ketika kerajaan hampir tumbang saya sempat menghubunginya dan menyampaikan beberapa maklumat berkait pengkhianatan.

Beliau hanya membalas, “Wamakaru Wamakarallah Wallahu Khairulmakirin”.

Ketika itu saya berasa sangat marah kerana angkara pengkhianatan, sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi bakal tumbang.

Berbeza pula dengan beliau yang sangat tenang menerima qada dan qadar membuatkan saya memandang tinggi ketabahan beliau.

Melihat ketenangan beliau menyebabkan saya juga redha akan perkara yang berlaku.

Sebagaimana beliau sangat tenang ketika hari pemergian Allahyarham Ayahandanya, begitulah beliau tenang berhadapan dengan apa jua situasi dan cabaran.

Ketenangan beliau memberi inspirasi kepada saya untuk terus berjuang melawan ketidak adilan.

Ketika hari terakhir beliau di pejabat TPM dan Kementerian Wanita, beliau disambut ratusan pekerja dengan linangan air mata dan tangisan.

Saya bertuah kerana menyaksikan detik bermakna dimana pemimpin yang disayangi ramai ini begitu berat untuk dilepaskan.

Ada diantara kakitangan yang selama ini berperwatakan keras, namun tetap menitiskan air mata kerana perlu melepaskan seorang ketua dan bos yang baik.

Hakikatnya Wan Azizah disenangi kawan dan lawan. Kelembutannya tidak sesekali memadam kreadibilitinya sebagai pemimpin yang hebat.

Beliau seorang pemimpin yang mempunyai rekod yang bersih dari sebarang skandal rasuah dan penyelewengan.

Nama beliau disenangi oleh sesiapa jua. Malah menjadi kebanggaan setiap kakitangan yang pernah berkhidmat bersamanya kerana rekod kecemerlangan beliau.

Jujurnya saya berasa terharu dan bangga kerana diberi kesempatan dan penghormatan untuk bertugas disamping beliau.

Beliau ibarat permata yang tetap bersinar walaupun diletakkan dimana jua.

Semoga Allah terus memelihara beliau dan keluarganya.

Sekian.

* Penulis adalah Mantan Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Merangkap Timbalan Perdana Menteri.