Malaysia Dateline

Cerita lawatan rasmi Menteri Agama zaman PH

Pada Januari 2020, saya ditugaskan mengiringi Menteri Agama ke Mesyuarat Urusan Haji di Arab Saudi.

Saya adalah satu-satunya pegawai pengiring dari pejabat menteri diberikan arahan untuk bersama menteri pada mesyuarat tersebut.

Tahun sebelumnya ada seorang pegawai lain mengiringi menteri. Pegawai jabatan lain yang menyertai mesyuarat haji pada masa itu ialah dari Tabung Haji iaitu, Pengerusi TH, Pengurus Besar Operasi dan dua orang lagi pegawai berkaitan haji. Semuanya enam orang sahaja.

Untuk menjimatkan kos dan masa, saya telah mengatur lebih awal supaya menteri boleh membuat kunjungan rasmi terhadap Menteri Hal Ehwal Agama Saudi. Di Saudi Menteri Haji dan Menteri Agama adalah dua pos yang berbeza.

Tiada isteri menteri atau isteri mana-mana pegawai dibenarkan menyertai lawatan rasmi itu. Juga tiada syarikat travel yang ikut bersama rombongan kami.

Sehari atau dua hari sebelum penerbangan, Pengurus Besar Operasi TH menghubungi saya bertanyakan pendapat saya untuk pilih di antara dua sebut harga tiket.

Satu dari syarikat Emirates berharga seingat saya RM3,000 lebih (tidak capai RM4,000) seorang dan satu lagi dari syarikat Etihad yang berharga tiga kali ganda lebih mahal iaitu hampir RM12,000 seorang.

Saya jawab ambil tiket yang lebih murah dan tidak perlu membazir duit TH. Yang penting tiket 1st class. Pengurus Besar Operasi setuju kerana lebih menjimatkan wang TH.

Maka terbanglah kami berenam dengan penerbangan biasa kelas satu Emirates (bukan jet mewah) dari KLIA sampai ke Jeddah. Ketika itu waktu malam. Maka kami bermalam di rumah tamu Konsul Haji milik TH di Jeddah.

Menteri kata tidak payah membazir ambil hotel, rumah tamu kita kan ada. Esoknya dari Jeddah kami naik kereta yang disediakan oleh Konsul Haji Jeddah ke Makkkah.

Selepas tamat sesi mesyuarat haji, saya, Menteri Agama, Pengerusi dan Pengurus Besar Operasi Haji perlu terbang ke Riyadh kerana pejabat Menteri Agama Saudi di Riyadh. Dua orang lagi pegawai TH terus ke Jeddah dan balik ke KLIA.

Kami terpaksa tunggu penerbangan awam ke Riyadh kerana kami tidak mendapat layanan istimewa daripada keluarga di Raja Saudi, maka tiadalah jet mewah dengan bilik tidur khas untuk menteri. Mungkin sebab tiada seorang pun daripada kami lulusan Universiti Madinah, atau Ummul Qura atau mana-mana universiti di Saudi. Kami redha sajalah.

Akhirnya, kami dapat naik sebuah penerbangan macam kapal terbang domestik kelas ekonomi AirAsia itu saja dan kami duduk bersepit dengan pak Arab saja, tiada kelas bisnes pun. Alhamdulillah, selamat sampai di Riyadh.

Selesai kunjungan rasmi terhadap Menteri Agama Saudi, kami balik ke lapangan terbang Riyadh untuk balik menaiki penerbangan Emirates semula. Kami transit sekejap di Abu Dhabi dan terus ke KLIA dengan selamat.

Alhamdulillah, semua selamat dan Menteri Agama membuat kenyataan akhbar di KLIA memaklumkan tentang pencapaian lawatan.

Antaranya, jemaah haji Malaysia akan melalui laluan ekspres (pre-clearance /Eyab) untuk masuk Saudi sebagai meneruskan hasil percubaan rintis tahun sebelumnya, memaklumkan pujian dan penghargaan kerajaan Arab Saudi terhadap TH dan jemaah Malaysia, serta sambutan positif kerajaan Saudi terhadap dasar Rahmatan lil Alamin dan Maqasid Syariah.

Kuota haji dinaikkan dari 30,200 ke 31,600, manakala kuota tambahan tidak diumumkan kepada media kerana ia sulit.

Sekian cerita lawatan rasmi Menteri Agama zaman dulu. Zaman sekarang lainlah, sebab zaman sudah berubah.

*USTAZ ALI MUDA ialah bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.