Malaysia Dateline

Cerita pertemuan dengan Sheikh Yusuf Al- Qaradhawi

Semenjak awal lagi Mohamad Sabu (Bang Mat)  sudah beritahu saya, “Ustaz, kita kena ziarah Syaikh al-Qaradhawi.” Bersungguh benar Bang Mat walaupun saya tahu, entah kali yang keberapa Bang Mat sudah menziarahi Syaikh.

Ketika rombongan kami (Bang Mat, isterinya, saya dan seorang pegawai Kementerian Pertahanan) sampai ke kediaman Syaikh pada 19 Januari sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan (Doha), Syaikh berada di pejabatnya.

Syaikh sedang tekun membaca akhbar al-Arab. Di atas meja kerjanya penuh dengan buku dan majalah. Ketika ditanya tentang kegiatan harian Syaikh, pegawainya menjawab, “Syaikh banyak membaca tetapi agak kurang menulis.”

Bang Mat terus menyalami Syaikh dan mencium dahinya. Syaikh nampak ceria sekali menyambut ketibaan rombongan kami. Saya menyampaikan kepada Syaikh ucapan salam daripada Ismail Haniyyah (Ketua Seksyen Politik Hamas) yang kami temui sejam sebelum itu.

Syaikh bangun dari kerusi kerjanya, dan dengan bantuan pegawainya, beliau berjalan dan mengambil tempat duduk di atas sofa. Syaikh berjubah gelap, tidak bertutup kepala dan berselipar (bukan selipar Jepun).

Dari sudut fizikal, Syaikh kelihatan sihat. Wajahnya ceria. Tubuhnya seperti biasa (seperti yang kita biasa lihat dalam gambar) dan tidak nampak tanda-tanda beliau sedang sakit.

Semasa dihidangkan minuman, Syaikh boleh memegang cawan minuman jus oren sejuk dengan stabil dan meminumnya sedikit demi sedikit sehingga selesai. Kami tertangguh untuk meneguk minuman kerana teruja dengan situasi Syaikh yang meneguk minuman dengan selesa.

“Umur Syaikh sekarang muda setahun daripada Tun Mahathir,” kata pembantu Syaikh apabila ditanya oleh Bang Mat dalam bahasa Inggeris. Kalam Bang Mat diterjemah ke dalam bahasa Arab dalam jarak sekaki daripada telinga Syaikh oleh pegawainya. Begitulah seterusnya perbualan berlangsung antara kami dan Syaikh.

Kata Bang Mat, buku pertama Syaikh yang beliau baca ialah Halal Dan Haram Dalam Islam. Syaikh tersenyum mendengarnya. Buku ini sudah diterjemah ke dalam puluhan bahasa dunia. Dalam bahasa Melayu sahaja, cetak ulang sudah melebihi lima puluh kali oleh pelbagai penerbit.

Syaikh bertanyakan Bang Mat tentang situasi politik di Malaysia. Bang Mat memaklumkan, proses pembaikan terhadap kerosakan yang berlaku hasil tinggalan regim lalu sedang berlangsung dengan giat. Negara dalam keadaan stabil selepas peralihan kuasa yang berlaku secara aman.

Bang Mat turut memaklumkan tentang usaha gigih Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR)  membantu kerajaan dalam proses islah di Malaysia. Antaranya ialah menjalin hubungan lebih akrab dengan tokoh-tokoh Muslim dari seluruh dunia khususnya dalam perkembangan ilmu dan tamadun. Sebut sahaja nama DSAI, wajah Syaikh tampak bertambah ceria. Ada sesuatu yang tersimpan di sebalik keceriaan wajah itu.

Turut ditanya oleh Syaikh ialah tentang kedudukan tentera di Malaysia. Bang Mat menjelaskan agak panjang kepada Syaikh tentang angkatan tentera Malaysia. Syaikh bertanya secara khusus tentang bilangan anggota tentera Muslim dan bukan Muslim. Kata Bang Mat, tentera Malaysia 90 peratus adalah Muslim. Syaikh mengangguk.

Syaikh boleh bertutur cuma memerlukan kepada ketekunan untuk mendengar. Suaranya tidak selantang dulu, tetapi butir bicaranya boleh difahami. Seperti biasa beliau seorang yang tekun mengambil tahu perkembangan semasa khususnya umat Islam di serata dunia.

Hampir sejam kami berada di pejabat Syaikh. Perkembagan terkini di Palestin, turut diambil cakna oleh Syaikh. Sebelum berpisah, Syaikh berpesan supaya usaha digiatkan untuk membawa umat berpegang teguh dengan Islam sebagai rahmat untuk segenap alam.

Saya mengambil peluang untuk melihat sendiri maktabah (perpustakaan) milik peribadi Syaikh. Menurut pegawainya, semua kitab yang berjumlah lebih daripada 50,000 buah yang ditempatkan di bangunan dua tingkat yang bersambung terus dengan rumah Syaikh adalah koleksi peribadi Syaikh sepenuhnya.

Koleksi itu tidak dibiayai oleh mana-mana pihak. Bahkan menurut pegawainya lagi, masih terdapat ribuan koleksi kitab peribadi Syaikh di Mesir (negara asal Syaikh) yang tidak dapat dibawa ke situ.

Syaikh bercadang untuk membuka maktabah itu kepada umum supaya koleksi kitabnya boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Atau mungkin koleksi itu ditempatkan di mana-mana masjid sebagai sumbangannya kepada perkembangan ilmu dan agama.

Kitab-kitab disusun mengikut bidang ilmu. Ketika saya masuk ada tiga orang sedang tekun menelaah kitab di dalam maktabah berkenaan. Salah seorang daripada mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun beliau orang Arab.

Antara berita paling gembira ialah, Syaikh kini sedang menyiapkan ensiklopedia (mausu’ah) tentang syariah. Mungkin ini adalah karya agung (magnum opus) Syaikh selain ratusan judul kitab dalam pelbagai bidang ilmu yang dimanfaat oleh umat di serata dunia pada masa kini.

Semasa di dalam lif untuk turun ke tingkat satu, saya memberitahu pegawai Syaikh tentang satu buku terbaru Syaikh yang saya lihat dilaman web iaitu Akhlaq al-Islam. Saya bertanya, bagaimana saya nak memiliki buku itu?

Kata pegawai itu, “Tunggu, aku akan hadiahi kamu buku berkenaan.” Beliau masuk ke dalam satu bilik, mengambil buku berkenaan dan menghulurnya kepada saya. Saya beritahu bahawa saya mahu membelinya, tetapi beliau tidak bersetuju kecuali saya menerimanya sebagai hadiah.

Sebenarnya, semasa sampai di Doha, saya memang berhasrat untuk membeli buku berkenaan di Ma’rad al-Dauhah al-Dauli Li al-Kitab (Pameran Buku Antarabangsa Doha) yang berlangsung pada 9 – 18 Januari, tetapi saya terlepas kerana kepadatan jadual.

Apa-apa pun, pertemuan dengan Syaikh al-Qaradhawi amat bermakna dari sudut menyedut inspirasi kegigihan beliau dalam mendalami ilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat sama ada melalui ucapan, penulisan dan penampilan peribadi.

Bagi saya, gaya fikir Syaikh yang sederhana, realistik dan ketajamannya dalam menghubungkait antara realiti dan wahyu, keupayaannya dalam menterjemah wahyu dalam konteks semasa menjadikan semua pihak mengambilnya sebagai ikon dalam wacana ilmu kontemporari.

Semoga Allah terus memberikan Syaikh kesihatan dan kekuatan untuk mencurahkan ilmu kepada umat dengan apa sahaja yang terdaya. Semoga saya diberi peluang lagi untuk bertemu Syaikh pada masa akan datang.