Malaysia Dateline

Cerita sebuah masjid di Terengganu

Suatu ketika dahulu masjid Kampung Pulau Serai antara tempat paling ‘happening’ di Terengganu. Walaupun tidak setaraf seperti Masjid Rusila di Marang dan Masjid Batu Enam, Kuala Terengganu, Masjid Pulau Serai mempunyai signifikan dalam memahami antropologi politik kampung.

Kalau solat Jumaat dulu, saya solat di sini berbanding di masjid kerajaan yang berhampiran, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah. Khutbah di Masjid Pulau Serai hidup. Tiada acara membaca skrip khutbah.

Kalau saya balik kampung, jika tidak solat di Masjid Pulau Serai, boleh pergi ke Masjid Sura Ujung. Satu lagi masjid yang penyokong Pas bersembahyang Jumaat di Dungun selain di Pulau Serai.

Jalan masuk ke Masjid Pulau Serai sempit. Ia terletak agak pedalaman. Bukan di tepi jalan utama Dungun – Kuala Terengganu. Ia terletak berhampiran Sungai Dungun yang pernah menjadi jalan pengangkutan utama beberapa kurun lalu.

Mungkin ketika itu, orang yang mudik mengikut sungai itu akan berhenti menunaikan solat di situ. Bekalan airpun mudah diperolehi.

Solat berimamkan imam selain daripada Imam Pas diragui tidak sah. Doktrin ini memang sukar untuk diterima tetapi itulah realiti yang wujud pada 80-an terutama di kawasan Melayu seperti di Terengganu. Dungun pun tidak terkecuali.

Surau lama Haji Bidin Sura Gate, Dungun.

Di dalam kajian Robert Winzeler juga mencatatkan masalah pemboikotan masjid di dalam masyarakat terutama dari penyokong Pas di Kelantan. Ia juga berlaku di Terengganu pada tahun kajian itu dibuat.

Masalah ini bukanlah permainan media atau disensasikan oleh pihak-pihak tertentu tetapi ia adalah sesuatu yang berlaku dalam masyarakat. Ia tidak sekadar melibatkan surau atau masjid tetapi termasuk kedai kopi, kelas dewasa dan kenduri kendara.

Lebih 20 tahun lalu, bangunan masjid ini kayu, gelap, agak tinggi sedikit dan ada tangga. Kini masjid tersebut besar. Pada pilihanraya umum 1959, Parlimen Dungun dimenangi oleh Pas dan Khadijah binti Mohd Sidik menjadi calonnya.

Bekas Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan pemimpin wanita yang berkaliber itu telah memacak tugu untuk kubu Pas di Pantai Timur.

Pilihan raya selepas itu, Pas gagal mempertahankan kemenangan di Parlimen Dungun. Namun, pada pilihan raya umum 1969, Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Abdul Wahab Yunus menebus kembali. Beliau bertahan dua penggal selepas kalah kepada Awang Jabar calon BN pada pilihan raya umum pada 1978.

Pas cuba merampas kembali Dungun pada pilihan raya umum 1982 dengan mengemukakan calon muda dan berkarismatik, Ustaz Abdul Hadi Awang yang berasal dari Marang.

Pernah juga Pas membawa Mustafa Ali bertanding di sini. Usaha tersebut gagal tetapi jumlah undi Pas semakin meningkat. Pengaruh Pas masih kuat. Cuma belum menang. Itulah antara kemuncak usaha Pas untuk menang di kawasan Dungun.

Kubu Pas

Dungun juga pernah menjadi fokus Parti Sosialis Rakyat Malaysia pimpinan Kassim Ahmad. Ketika beliau bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya 1974, Timbalannya Kampo Radjo bertanding di Dungun. Namun, usaha mereka gagal membina tapak di negeri pantai timur itu.

Kebanyakan masjid yang menjadi kubu Pas terletak di pinggiran kampung dan penempatan lama. Jawatankuasa masjidnya aktif menjadikan masjid sebagai pusat pengajian dan aktiviti kemasyarakatan di kampung.

Sejarahnya kampung ini dibuka pada 1883 oleh Haji Yusof bin Lebai Isa yang mendapat perkenan dari Sultan Terengganu. Beliau membuka perkampungan di Darat Seberang Pintasan, Sungai Pimpin dan akhir sekali Pulau Serai.

Masjid itu didirikan atas tanah yang diwakaf oleh Tengku Muhamad bin Ali. Atas tapak itulah Masjid Pulau Serai yang baru didirikan.

Tengku Muhamad adalah salah seorang pelajar Haji Yusuf Lebai Isa. Antara pelajar lain Haji Yusuf ialah Tok Ku Paloh dan Haji Zainal Abidin bin Aman. Masjid Pulau Serai ini didirikan pada 1888 dan menjadi pusat pengajian Islam setempat yang penting.

Pada pilihan raya 1954, beliau menyokong Umno tetapi setelah Pas ditubuhkan di Dungun, beliau menyokong Pas. Beliau membenarkan madrasahnya di Sura Gate dijadikan tempat perasmian penubuhan Pas Dungun oleh Dato Asri Haji Muda pada 1956. Haji Zainal Abdin bin Aman ataupun dikenali sebagai Tuan Guru Zainal Abdin menjadi Yang DiPertua Pas Dungun dari tahun 1956 hingga 1971.

Bebas mengurus

Pembangunan dan pengembangan masjid yang dikuasai Pas mampu memanfaatkan konsep tabung dan wakaf dalam mendanai semua urusan. Ini termasuklah dalam soal pengurusan, pembesaran atau pembinaan masjid.

Berbeza dengan masjid yang dikendalikan oleh orang ramai atau pemimpin setempat yang sehaluan dengan kerajaan BN. Mereka sangat bergantung dengan sumber bantuan kerajaan. Inilah sifat tipikal masyarakat subsidi, masyarakat bantuan dan masyarakat tongkat.

Masjid yang dikuasai Pas, mereka bebas mengurus perjalanan masjid. Oleh sebab itu, pimpinan dan ulama Pas diberikan ruang memberi pengisian di masjid. Secara langsung, doktrin politik dapat ditanam ke dalam ahli kariah dan pengaruh semakin kuat. Pulau Serai dan Sura Gate adalah kubu kuat Pas Dungun.

Jika ada ceramah Ustaz Hadi, Mat Sabu dan lain-lain memang jalan penuh. Ustaz Azhar Idrus juga pernah berceramah di sini. Letak kereta di tepi jalan sampai jalan besar. Unit Amal paling sibuk mengendalikan urusan letak kereta.

Berbekal lampu suluh dan jaket keselamatan mereka mempunyai kuasa mengarah orang ramai agar meletak kereta di tempat yang disediakan. Ini kerana orang ramai mahu letak kereta dekat dengan tempat program.

Idea melawan kerajaan taghut, sekutu mustakbirin Amerika Syarikat (AS) dan menegakkan negara Islam sentiasa hidup. Berpuluh tahun membina tembok pada rumah Tuhan dalam masyarakat, sukar untuk dirobohkan kenangan itu. Setidak-tidaknya kesannya masih terasa.

Kini, masjid ini sudah tidak ‘happening’ lagi. ‘Islam membangkang’ sudah tinggal retorik. Kata Alip Moose, anak muda yang dahulunya teruja dengan perjuangan Pas tetapi kini apabila Pas sudah menjadi kerajaan, dia mula skeptikal tentang ‘perjuangan’ itu.

Sumber:
Haji Abdul Wahab Yunus dalam buku suntingan Muhamad Abu Bakar, ‘Ulama Terengganu. Suatu Sorotan’ dan temubual menerusi Whatsapp bersama Hasbie Muda, Wan Mohd. Rosli bin Wan Ngah, Setiausaha Persatuan Sejarah Cawangan Dungun.