Cerita Vellfire dan PRN Melaka

Oleh NASUHA RAHMAN

Salah satu cara mudah hendak kenal watak parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah dengan menggunakan kereta Toyota Vellfire sebagai kayu ukur.

Di Putrajaya kerajaan yang membuat keputusan mengubah kereta rasmi Menteri daripada Proton Perdana keluaran tempatan kepada Vellfire yang diimport dari Jepun adalah kerajaan yang termasuk Umno/BN dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut jawapan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen pada 2 November lalu, keputusan ganti kereta Proton Perdana dengan Vellfire bermula pada bulan April 2021. Waktu itu, Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan Mahiaddin dikenali sebagai kerajaan PN. Apabila Kluster Mahkamah dan Kleptokrat Umno jatuhkan Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob naik jadi Perdana Menteri, keputusan tukar kereta itu diteruskan.

Selepas Ismail Sabri ambil alih, nama kerajaan PN tidak digunakan lagi sebab Umno bukan anggota PN walaupun dia mendapat sokongan PN, sebaliknya Ismail Sabri menggunakan label kerajaan Keluarga Malaysia dan lebih akrab dengan Pakatan Harapan (PH) melalui Memorandum Persefahaman (MoA).

Sekarang Umno/BN berlawan dengan PN dalam PRN Melaka walaupun di Putrajaya mereka masih bekerjasama dalam perkongsian sesedap rasa demi kuasa dan pendapatan yang lumayan.

Berbalik kepada Vellfire, Ismail Sabri dari awal-awal lagi menggunakannya. Mahiaddin pun sama. Seolah-olah kepada mereka kereta Proton Perdana macam tak ngamlah. Begitu juga kepada beberapa orang Menteri yang pakai kereta sendiri, Proton Perdana ni macam tak ada kelaslah.

Tengku Zafrul kena buat cerita juga sebab hal-hal kontrak ni, apatah lagi kontrak “direct nego”, di bawah kuasa dia. Sebagai orang yang “cable” dia bukan jenis politik, dia pun kena juga jaga hati bos dia. Kalau bos senang hati, mudahlah dapat gelaran tinggi-tinggi.

Dia kata, sewa Vellfire daripada Spanco jimat RM2.80 sebulan berbanding Proton Perdana. Adoi, yang depa boros, bazir dan tiriskan duit berbilion-bilion mereka buat-buat tak tahu, jimat 9.3 sen sehari mereka heboh satu dunia. Macam la rakyat jelata ni bodoh sangat.

Zaman PH pun ada Menteri kebulur minta Vellfire tapi Dr Mahathir Mohamad kata hanya Proton Perdana boleh digunakan. Semua syarikat boleh tender tapi kereta mesti guna Proton.

Proton ni, busuk-busuk pun 50.1 peratus sahamnya milik Malaysia dan ada 12,000 pekerja tempatan. Kalau Vellfire, 100 peratus Jepun dan duit kita keluar ke Jepun. Kos sewaan Proton Perdana 2.4 Premium RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 RM4,851.61. Nak tanya kontrak sewa Vellfire tu dibagi secara tender terbuka atau rundingan terus?

Sambil-sambil itu nak tanya satu lagi soalan. Betulkah kos paling rendah tender terbuka untuk kontrak 15 tahun itu RM3.6 bilion tetapi kos kontrak rundingan terus RM4.6 bilion? Maaf tanya saja.