Malaysia Dateline

Cermin retak, pesawat Malindo berpatah balik

Pesawat Malindo Air yang dalam penerbangan dari Dhaka, Bangladesh ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal kerana cermin depan retak.

Malindo dalam kenyataannya berkata, tindakan juruterbang itu mematuhi prosedur operasi standard.

Kejadian itu berlaku selepas pesawat berkenaan berlepas dari Dhaka kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.

Semua penumpang dan anak kapal selamat mendarat.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Malindo Air dan syarikat memohon maaf di atas kesulitan disebabkan insiden ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambanya, syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk menyediakan bantuan kepada penumpang dan kru pesawat.

Ia merupakan kejadian kedua melanda Malindo Air selepas pesawat dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Delhi, India kerana masalah enjin baru-baru ini.