Malaysia Dateline

Ceroboh ruang udara: Anwar gesa Menteri Luar minta penjelasan China

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk segera meminta penjelasan daripada Republik Rakyat China berhubung penerbangan mencurigakan 16 pesawat negara itu.

Ketua Pembangkang berkenaan berpendapat penerbangan kesemua pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) terbabit pada 31 Mei lalu itu ternyata amat membimbangkan.

Beliau yang jugaPresiden PKR berkata, hal tersebut juga menimbulkan kecurigaan dan keresahan terhadap kedaulatan negara serta keselamatan ruang udara kita.

“Pujian saya terhadap ketangkasan pasukan TUDM yang segera menggerakkan pemintasan udara dalam mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam masa sama, Anwar turut meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tentang alasan kebenaran yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan menegaskan pencerobohan pesawat itu jelas suatu bentuk pengkhianatan kepada negara.

Sementara itu, Hishammuddin dalam reaksinya lewat malam tadi memaklumkan pihaknya akan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China berhubung isu tersebut.

Menteri Umno tersebut menyifatkan tindakan 16 pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional itu sebagai ‘pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia’.

Katanya, Kementerian Luar akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung pencerobohan itu.

“Berdasarkan laporan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Luar akan mengemukakan nota bantahan diplomatik terhadap pencerobohan itu kepada kerajaan China.

“Kementerian Luar juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat PLAAF.

“Selain itu, saya akan membangkitkan kebimbangan serius berhubung perkara ini kepada rakan sejawat di China,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menegaskan, pendirian Malaysia yang tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan negara meskipun memiliki hubungan diplomatik dengan mana-mana negara.

“Pendirian Malaysia jelas, iaitu tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan negara walaupun memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan mana-mana negara sekali pun.

“Malaysia tetap teguh dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara,” tambahnya lagi yang telah memanggil gelaran “abang besar” semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari China ketika lawatan ke Beijing awal April lalu.

Sebelum ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan, memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh ZMM Kota Kinabalu (KK) IFR semalam.

Pesawat itu yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

Beberapa arahan supaya pesawat tersebut menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.