Ceroboh tanah kerajaan: Pemilik syarikat diminta tampil beri cadangan penyelesaian

Ceroboh tanah kerajaan: Pemilik syarikat diminta tampil beri cadangan penyelesaian

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini kepada pemilik sebuah syarikat yang didapati menceroboh dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang untuk tampil memberikan cadangan penyelesaian.

Khalid berkata, Lot 568 hak milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah dan Lot 716 milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara yang mana DBKL diberikan hak mentadbir.

Dua lot tersebut dengan keluasan dianggarkan 0.36 ekar bernilai lebih RM20juta itu telah didirikan bangunan pejabat enam tingkat dan gerai-gerai buahan dengan hasil sewaan RM16,000 sebulan tahun lalu.

Beliau mempersoalkan, kelulusan kebenaran merancang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2015.

“Jika tiada sebarang respon kita anggap mereka tidak berminat untuk membuat penyelesaian dan kemungkinan bangunan itu akan diroboh atau diambil hak milik oleh kerajaan,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan, bagaimana kebenaran merancang dikeluarkan kepada syarikat dalam keadaan tanah bukan milik syarikat mahupun DBKL.

“Bagaimana pindaan kebenaran merancang dikeluarkan daripada cadangan membina bangunan dua tingkat diubah kepada empat tingkat dan seterusnya enam tingkat?.

“Bagaimana syarikat boleh menduduki tanah yang bukan milik mereka dan boleh mengutip hasil daripadanya?”soalnya pada sidang media pendedahan pencerobohan tanah tersebut di Menara DBKL,” katanya dalam satu sidang media.

Turut hadir Timbalan Menteri WP Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar KL  Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Katanya, hasil mesyuarat hari ini memutuskan dua perkara, menunggu maklum balas pihak yang membina bangunan dan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak yang terlibat meluluskan projek.

“Kita tunggu pemilik syarikat tampil sama ada mahu mempertahankan bangunan itu atau sebaliknya. Jika mahu pertahan maka mereka perlu kemukakan permohonan pemilikan tanah untuk beli dengan harga pasaran dan bayar segala premium tanah, kelulusan pembangunan dan denda yang akan dikenakan.

“Hasil siasatan unit integriti akan diserahkan kepada SPRM dijangka minggu ini untuk tindakan selanjutnya berhubung kelulusan pembinaan bangunan misteri yang wujud penyelewengan dan salah guna kuasa dalam DBKL,” katanya.

Beliau menolak dakwaan, wujud kekeliruan atau tidak tahu berhubung status tanah kerana hal tersebut pernah dibangkitkan oleh dua Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fung Kui Lun Mac 2017 dan Segambut, Lim Lip Eng ketika bangunan itu sedang dibina 2017 lalu.

“Alasan pihak berkuasa tak tahu pencerobohan adalah tidak wajar kerana bantahan pernah dibuat dua Ahli Parlimen dan kewujudan bangunan misteri itu pernah dilaporkan media,” katanya.