Jenama rangkaian minuman teh popular, Chagee Malaysia akhirnya membuat permohonan maaf berhubung isu penularan video membabitkan kempen ‘Tear & Win’ yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di platform Instagram, Chagee Malaysia menegaskan bahawa tingkah laku pekerjanya di dalam video tular sebelum ini tidak mencerminkan ‘standard’ ditetapkan oleh pihaknya.
Chagee Malaysia turut mengesahkan bahawa siasatan secara terperinci sedang dijalankan dan memberi jaminan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras mereka.
“Kami amat menyesal atas segala persepsi negatif yang telah timbul. CHAGEE mengambil maklum tentang perkara ini dengan sangat serius bagi memastikan pengalaman yang positif untuk semua pelanggan.
“Dengan itu, pihak CHAGEE sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras kami.
“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan cawangan yang terlibat untuk mengkaji semula prosedur operasi agar memastikan standard tertinggi dipatuhi,” katanya dalam kenyataan itu.
Jenama rangkaian minuman teh itu juga akan melakukan penambahbaikan dalam kempen seterusnya dengan menggantikan item fizikal di dalam cawan kepada slip Kod Respons Pantas (QR).
Difahamkan, proses penambahbaikan yang akan mula dijalankan pada Disember depan itu akan membantu pelanggan terutama dalam memastikan penebusan hadiah berjalan dengan lancar.
“Bermula pada bulan Disember, CHAGEE Malaysia akan menggantikan item fizikal dalam cawan ‘Big Big Cup’ dengan slip kod QR bagi memastikan proses yang lebih lancar.
“Dengan mengimbas kod QR, pelanggan kami hanya akan dapat melihat hasil cabutan bertuah selepas proses imbasan. Kepercayaan anda amat penting bagi kami. CHAGEE Malaysia komited untuk terus menambah baik bagi memastikan pengalaman terbaik untuk semua pelanggan kami.
“Pihak kami turut memastikan isu berkenaan acara Tear & Win diselesaikan dengan kadar segera bersama Bahagian Khidmat Pelanggan CHAGEE. Kepercayaan dan sokongan anda, amat kami hargai.” Jelasnya.
Terdahulu, Chagee Malaysia menjadi sasaran kritikan ramai selepas dikatakan ‘mengancam’ untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial berhubung penularan video melibatkan pekerjanya.
Dalam rakaman itu, pekerja jenama rangkaian minuman teh berkenaan didakwa mengasingkan cawan di kaunter lalu hanya membawa masuk semula bekas yang mengandungi hadiah ke bahagian belakang premis.
Baca juga: Tular video pekerja didakwa asing cawan berisi hadiah, francais minuman nak saman netizen?