Che Ibrahim dilantik pengarah operasi banjir PH Kelantan

Che Ibrahim dilantik pengarah operasi banjir PH Kelantan

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Che Ibrahim Mohamed dilantik sebagai pengarah pusat operasi bantuan banjir Pakatan Harapan (PH) negeri Kelantan.

Datuk Kamarudin Mohd Nor

Timbalan Pengerusi PH Kelantan Datuk Kamarudin Mohd Nor berkata, perlantikan beliau berdasarkan rekod cemerlangnya mengetuai operasi banjir AMANAH sebelum ini.

“Walaupun perlantikan rasmi baru diputuskan, sebenarnya beliau telah pun menggerakkan operasi bantuan apabila banjir mula melanda beberapa hari lepas,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri di Kota Bharu malam tadi.

PH negeri katanya telah bersetuju untuk menetapkan pusat operasi banjir peringkat negeri di Pengkalan Chepa.

“Tempat ini dipilih kerana ia terletak di kawasan tidak terlibat banjir dan berdekatan dengan lapangan terbang Sultan Ismail Petra.

Che Ibrahim menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Kita juga sudah mengenal pasti pusat-pusat operasi di tiap-tiap kawasan parlimen seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Menurutnya semua pengerusi PH peringkat parlimen diminta segera melantik pengarah operasi masing-masing.

“Saya telah meminta sekretariat PH negeri untuk memaklumkan perkara ini dan meminta semua pengerusi PH parlimen memaklumkan segera kepada Ustaz Che Ibrahim mengenai perkara ini,” katanya.

Semua operasi banjir kali ini katanya akan digerakkan secara bersama bagi semua parti-parti anggota PH.

“Kita hanya ada seorang pengarah dan satu bilik operasi di semua peringkat.

“Hanya bilik operasi PH, tiada lagi bilik operasi AMANAH, Keadilan, Bersatu atau DAP,” katanya.

Menurutnya untuk kemudahan para penyumbang pihak PH bersetuju untuk menggunakan satu akaun bersama.

Akaun tersebut atas nama Persatuan Peduli Rakyat Kelantan, di Maybank bernombor 553131015268.

Semua pertanyaan berhubung operasi bantuan ini boleh terus ke nombor whatsApp 0139840899 Ustaz Che Ibrahim Mohamed.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES