Che Ta rupanya belum lunas hutang MARA, baki RM443,392 perlu dibayar akhir Mac ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta rupanya masih belum melunaskan hutang kepada pihak Majlis Amanah Mara (MARA) dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392.

Perkara itu didedahkan MARA sebelum pengerusi agensi berkenaan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menafikan dakwaan Che Ta yang kononnya semua hutang pinjaman perniagaan berjumlah hampir RM1 juta sudah dilunaskan sepenuhnya.

Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa setakat 18 Februari lalu, Che Ta membuat bayaran sebanyak RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat MARA, manakala selebihnya menggunakan transaksi atas talian.

Bayaran tersebut dilakukan Che Ta untuk menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman diambil MARA agar pihak mahkamah melelongkan hartanya yang kemudian boleh menyebabkan kebankrapan.

Pihak MARA bagaimanapun akan memberi tempoh akhir bayaran untuk dijelaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini sekiranya tidak mahu tindakan tegas diambil oleh agensi berkenaan terhadap Che Ta, lapor Berita Harian.

Tindakan ini sama seperti dikenakan kepada peminjam lain yang gagal membayar semula pinjaman mereka hingga menyebabkan MARA menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah 49.6 peratus.

“Rozita belum bayar habis hutangnya dengan MARA dengan baki tertunggak berjumlah RM689,307.59 yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini. Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan MARA adalah tidak benar.

“Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar yang belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)l Saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa juga yang berhutang dengan MARA termasuk artis atau golongan ternama.

“Supaya mereka membayar balik pinjaman kerana ia duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan lain yang memerlukan,” kata Asyraf Wajdi yang juga merupakan yang juga Setiausaha Agung UMNO itu memetik laporan Berita Harian.

Penafian tersebut dibuat untuk mengulas kenyataan Che Ta atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar pada dua minggu lalu yang memaklumkan bahawa semua hutang tertunggaknya dengan pihak MARA sudah dilunaskan.

Menurut Asyraf Wajdi, ketegasan MARA menuntut semula hutang tertunggak membuktikan bahawa agensi terbabit serius dalam menepis persepsi ramai yang menganggap kononnya pinjaman dibuat tidak perlu dibayar semula.

“Jangan anggap MARA ini sebagai tempat mudah untuk membuat pinjaman sama ada perniagaan atau pendidikan tanpa perlu membayar semula, kononnya mereka tidak dikenakan tindakan. Kita tegas dan tidak akan ‘beri muka’ kepada peminjam yang sengaja mengelak membayar hutang.

“Tindakan mahkamah akan dikenakan kepada mereka terbabit selepas pelbagai usaha mendapatkan semula hutang itu tidak dipedulikan. Sebenarnya MARA tidak kejam kerana jika ada peminjam bermasalah.

“Kita ada proses penjadualan dan penstrukturan semula tetapi jangan senyap,” ujarnya yang memberitahu bahawa usaha untuk mengutip pinjaman hutang NPL ini sedang giat dilakukan anak syarikat MARA iaitu Rural Capital.

Langkah ini diambil dalam usaha untuk mengurangkan NPL kepada 30 peratus supaya wang bayaran daripada peminjam ini boleh digunakan untuk membantu usahawan lain yang lebih memerlukan.

Baca juga: Terlalu menghayati watak, Fazlina terkenang babak cium, minum air basuhan kaki Faizal Hussein