Chef Wan minta maaf pada Najib

Chef Wan minta maaf pada Najib

Selepas membuat kenyataan kontroversi mahu menampar Datuk Seri Najib Razak, pagi ini Chef Wan memohon maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri itu.

Chef Wan mengakui beliau silap membuat kenyataan sedemikian kerana amat marah.

“To DS Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar saya telah guna kan di waktu saya merasa amat marah!

“Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita as i have done this morning. Yes saya mengaku saya silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!,” katanya menerusi Instagram seperti dipetik MG.

Tambah Chef selebriti itu, beliau tidak mahu menjadi manusia yang tidak berterima kasih dengan tidak menghargai sumbangan Najib kepada negara ini.

Bagaimanapun, memang adil bagi Najib sebagai seorang ahli politik dan mesti menghadapi semua kritikan secara terbuka dan rasa terhormat.

Meskipun begitu, Chef Wan tetap mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan semalam kerana tidak bermakna apa yang dihujahnya semalam tidak betul.

“Saya berdiri di atas nama Allah untuk bercakap kebenaran,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta para penyokong Najib tidak menjadi batu api berhubung kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ujar Chef Wan lagi, beliau tidak kisah apa pun yang akan diperkatakan oleh orang tentang dirinya, sebaliknya yang ditakuti jika tidak boleh berkata tentang kebenaran dan tidak membetulkan kesilapan orang lain.

“Saya telah buat silap dengan apa yang saya perkatakan semalam dan sekarang saya memohon maaf kepada DS (Najib). dan itu sahaja!

“Saya akan terus memperjuangkan apa yang betul,” katanya.

Semalam, semasa hadir untuk berkempen dan mengadakan demonstrasi masakan di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, Chef Wan telah melahirkan rasa kecewa dengan Barisan Nasional (BN) termasuk Najib.

Chef Wan kesal kerana BN memberikan imbuhan sebanyak RM5,000 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

Beliau juga tidak berpuas hati pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda dan mendakwa BN telah ‘merompak’ Felda sehingga agensi itu bankrap

Tidak puas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan itu, beliau memberitahu mahu menampar Mohd Isa dan Najib.

Najib ketika mengulas dakwaan Chef Wan berkata, pemberian imbuhan kepada peneroka Felda bukan rasuah kerana ia turut diberikan kepada bukan penyokong BN.

Sebaliknya, pemberian imbuhan itu bagi membantu peneroka Felda yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.