Malaysia Dateline

Cheng Hoe harap Liridon kekal berstatus peledak berbisa

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan jentera serangan pasukannya akan lebih mantap dengan kehadiran pemain naturalisasi terbaru negara, Liridon Krasniqi.

Cheng Hoe yang bertanggungjawab membentuk Liridon menjadi salah seorang pemain terbaik Liga Malaysia (Liga-M) ketika membimbing Kedah satu ketika dahulu, berkata, dengan kemasukan Liridon ia akan menambahkan pilihan rangkaian serangan pasukan negara.

“Kalau ditakdirkan satu hari nanti Liridon bermain bersama pasukan negara, ia satu impak terbaik kepada pasukan kerana beliau mempunyai karakter dan permainan yang bermotivasi tinggi sekali gus memberi perkembangan positif di bahagian serangan pasukan.

“Kita tahu semasa di Kedah beliau bermain begitu baik dan merupakan jentera peledak pasukan selain bekerja keras dalam setiap latihan dan perlawanan. Jadi saya harap beliau teruskan sumbangan itu bersama pasukan kebangsaan nanti,” katanya kepada pemberita di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

FAM hari ini mengesahkan pemain kelahiran Kosovo itu kini mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sah menjadi warganegara Malaysia selepas menerima kad pengenalan (MyKad) di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, hari ini.

Namun, Cheng Hoe menegaskan beliau dan barisan kejurulatihannya tetap akan memantau serta menilai keseluruhan prestasi pemain berusia 28 tahun itu sebelum disenaraikan dalam pasukan kebangsaan.

“Beliau daripada segi fizikal, taktikal dan teknikal telah meningkat tetapi kita kena pantau dahulu prestasinya bersama JDT dalam saingan Liga-M musim ini kerana hampir setahun beliau tidak beraksi secara kompetitif,” jelas pengendali berusia 50 tahun itu.

Menyentuh mengenai peluang Liridon diturunkan pada aksi saingan pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai 26 Mac depan, Cheng Hoe berkata beliau serahkan segalanya kepada usaha yang sedang giat dilakukan FAM.

Liridon berpeluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya ketika berdepan UAE, namun FAM kini sedang menunggu pengesahan daripada FIFA sebelum meneruskan dengan proses pendaftaran pemain yang akan tamat pada 20 Mac ini.– BERNAMA