Malaysia Dateline

China ‘abang besar’: Pihak luar mungkin sedang cuba guna kelemahan PN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin tersalah langkah dalam banyak hal penting negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keadaan bahkan membawa kepada ancaman terhadap kedaulatan negara tanpa imbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif.

“Komen ‘abang besar’ Menteri Luar pada hari Jumaat lalu (2 April) telah memberi kesan yang bukan kecil pada kebijakan luar negara terkait hubungan Malaysia dan Republik Rakyat China.

“Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 April lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggelarkan China sebagai “abang” kepada Malaysia dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya Wang Yi.

“You will always be our elder brother (anda akan sentiasa menjadi abang kepada kami),” katanya.

Lawatan dua hari Ketua Umno Bahagian Sembrong itu ke China adalah lawatan rasmi pertama Hishammuddin ke republik tersebut sejak dilantik sebagai menteri pada 10 Mac 2020.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berpendapat percubaan Hishammuddin untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan Kabinet PN mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China.

“Dunia tahu bahawa kerajaan hari ini tidak ada keabsahan demokratik untuk memerintah. Negara-negara sekutu mahupun seteru, baik para diplomat atau pun pemuka-pemuka korporat, mungkin sedang mencuba menggunakan kelemahan pemerintah hari ini sebagai kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dalam keterlibatan mereka dengan Malaysia.

“Hal ini mampu memberi kesan yang mendalam pada kedudukan diplomatik Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengulangi pendirian menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang dilihat menyalahguna pengisytiharan darurat untuk segera berundur.

“Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa, dan ia berpotensi akan mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara,” tegas Anwar lagi.