Malaysia Dateline

China benar PBB lawat Xinjing asalkan tidak campur tangan

Wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan untuk melawat Xinjiang asalkan mematuhi peruntukan undang-undang China dan mengikut prosedur yang ditetap. Ini adalah salah satu pendekatan China untuk menangani tanggapan negatif dunia terhadap kerajaan China dalam layannya terhadap masyarakat Xinjiang, lapor South China Morning Post.

Ulasan daripada Kementerian Luar Negeri China ini adalah susulan daripada lawatan yang diatur kerajaan China yang membawa pemberita dan diplomat asing melawat kem yang menempatkan masyarakat minoriti Muslim Xinjiang. Ini adalah pertama kali selepas China mendapat kritikan daripada pakar Hak Asasi Manusia di PBB, kerajaan-kerajaan asing, aktivis dan para sarjana.

Jurucakap Kementerian Lu Kang ketika taklimat memberitahu bahawa semua pihak, termasuk wakil PBB, adalah di alu-alukan untuk melawat Xinjiang, asalkan mereka “patuh kepada peruntukan undang-undang China dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” berdasarkan transkrip di laman sesawang kementerian berkenaan.

Tambah Lu, wakil PBB juga seharusnya “tidak campur tangan dalam hal domestik atau menjejaskan kedaulatan [China]” dan mengambil pendekatan yang objektif dan neutral.

Bulan lepas, Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia berkata pejabatnya sudah memohon untuk melawat Xinjiang berikutan “laporan yang membimbangkan” berkenaan keadaan kem di Xinjiang.

China sebelum ini menolak permohonan oleh Jerman pada bulan Disember lalu untuk melawat Xinjiang, kata Pesuruhjaya Hak Asasi Jerman Barbel Kofler.

Panel PBB sebelum ini berkata pihaknya telah menerima beberapa laporan yang boleh dipercayai yang menyebut bahawa sekurang-kurangnya sejuta Uygurs and beberapa kumpulan minoriti Muslim lain telah ditahan di kem penahanan tersebut.

Tahanan yang telah dilepaskan sebelum ini berkata kepada media antarabangsa bahawa mereka telah dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan dipaksa untuk bersumpah taat setia kepada Parti Komunis China ketika penempatan di kem berkenaan. Ada beberapa pihak yang turut menyebut bahawa mereka telah diseksa.

China sebelum ini menolak dakwaan tentang kewujudan kem tersebut tetapi kemudiannya memberi justifikasi kewujudan fasiliti tersebut sebagai “pusat latihan vokasional” yang membantu menyelamatkan individu daripada fahaman “ekstrim agama” melalui pembelajaran bahasa Mandarin, perundangan dan kemahiran untuk bekerja.

Minggu lepas, sekumpulan kecil yang terdiri daripada wartawan asing dibawa melawat ke tiga fasiliti yang terdapat di Xinjiang. Lawatan yang sama turut diaturkan bagi diplomat asing daripada negara-negara seperti Rusia, Indonesia, India, Thailand dan Kazakhstan.

Menurut wartawan Reuteurs, yang turut sama menyertai lawatan tersebut mengatakan bahawa wartawan yang membuat lawatan di Xinjiang ditemani dan diperhatikan setiap masa dan sesi temubual turut diperhatikan oleh wakil-wakil kerajaan. Lapor Reuters, di dalam satu kelas yang dilawati, individu-individu di dalam kelas tersebut turut menyanyikan lagu “If you’re happy and you know it, claps your hands,”.

Aktivis Hak Asasi Manusia mengatakan lawatan yang dikawal ini tidak akan mengurangkan pengkritik Beijing.