Malaysia Dateline

‘China bina hospital dengan segera, Malaysia bina dewan ketika darurat’

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan kerajaan pada masa ini sudah tidak mempunyai semak dan imbang hingga bebas berbuat apa sahaja.

Menurutnya, ciri diktator dalam kerajaan pada masa ini jelas dapat dilihat pada peruntukan sebanyak RM35.43 juta bagi pembinaan tiga buah dewan orang ramai di kawasan Parlimen Pagoh.

“Sekarang ini sudah tiada semak dan imbang. Ikut suka dia, nak beri projek atau membeli bekalan.

“Dia boleh beli ikut suka. Itu diktator. Inilah yang sedang berlaku termasuk isu dewan RM35 juta walaupun dikatakan untuk tiga dewan.

“Tak mungkin dibuat secara tender terbuka. Di China, mereka bina hospital pada kadar segera. Tapi kita di Malaysia dalam suasana darurat Covid-19 ini, kita bina dewan,” katanya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 93) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “Muhyiddin Seorang Diktator?” sebentar tadi.

Pakar Perlembagaan sebelum ini mengingatkan proklamasi darurat hingga Ogos nanti akan memberikan kuasa mutlak tanpa batasan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH bertanyakan bila proklamasi darurat akan dibentangkan ketika Parlimen digantung.

“Proklamasi darurat ini kalau dilihat pada bahagian akhir menyebut perlu dibentangkan dalam Parlimen menurut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, bagaimana sekarang? Kerajaan mahu bentang bila, sedangkan Parlimen digantung,” bidasnya.

Beliau menjelaskan situasi semasa susulan pelaksanaan darurat turut menyebabkan banyak pihak bimbang lebih-lebih lagi pelabur sama ada pelabur tempatan mahupun antarabangsa.

“Apabila diisytiharkan darurat dengan Perlembagaan digantung dan undang-undang tidak diguna pakai, ramai orang rasa takut.

“Tindakan kerajaan (sepanjang tempoh darurat) tidak boleh dicabar di mahkamah. Inilah yang dikatakan diktator,” ujar Khalid lagi.