Malaysia Dateline

China bina pusat kajian, Eropah vaksin, Malaysia cukup air suam saja!

Selepas para netizen dan doktor pakar masuk campur mempertikaikan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba yang mencadangkan air suam untuk melawan Covid-19, kartunis pula masuk campur.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkefli Anwar ul Haq membuat satu lakaran sinis terhadap kenyataan Menteri Kesihatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.

Bagi Zunar, ketika negara China sibuk membina pusat kajian untuk melawan Covid-19 manakala negara Eropah pula sibuk membangunkan vaksin untuknya, Malaysia lagi hebat.

“Cukup melawan Covid-19 dengan air suam sahaja.” Itulah gambar Zunar melalui kartunnya ketika menceritakan apa yang berlaku melalui karikaturnya.

Pelbagai pihak khasnya netizen mempertikaikan kenyataan Dr Adham yang disiarkan melalui RTM kononnya air suam boleh melawan Covid-19.

Turut menyertainya adalah pakar bedah di Imperial College, London Dr Nur Amalina Che Bakri, anak kelahiran Kelantan yang kini bertugas di Hospital England.

“Ia bukan nasihat (doktor) dan tiada bukti di sebalik syor ini.

“Sila ikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan WHO,” katanya pada kicauan di Twitter, membalas suatu ciapan yang menyertakan pautan mengenai saranan menteri kesihatan itu.

Amalina juga menegaskan petua minum air untuk menghalang jangkitan Covid-19 sebagai mitos.

“Tidak kiralah di mana anda dengar tips ini walaupun di stesen televisyen nasional, tips ini adalah mitos.

“Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan etika batuk serta bersin, duduk rumah dan amalkan penjarakkan sosial pada kadar satu meter.

“Hanya menjelaskan, kepanasan kira-kira 60 darjah Celcius boleh menyahaktifkan virus di luar badan, tapi bila sudah di dalam badan kita, minum air panas tak akan lemahkan virus tu.

“Tiada bukti asid di dalam perut kamu boleh membunuh virus itu.

“Dengan demikian, minum air bagus mengekalkan kamu senantiasa hidrat, tetapi ia tidak akan menyebabkan virus itu tidak aktif dengan apa jua sekalipun,” katanya.