Malaysia Dateline

China dijangka kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia – MITI

Berdasarkan aliran semasa, China dijangka kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Beliau berkata walaupun diselubungi perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, perdagangan Malaysia-China terus berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding dengan rakan dagang lain.

Bagi tempoh Januari hingga November 2018, keseluruhan perdagangan Malaysia meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama 2017, menyumbang 6.9 peratus pertumbuhan kepada eksport dan 5.3 peratus kepada import, katanya dalam kenyatan hari ini.

Dalam tempoh itu juga, perdagangan keseluruhan Malaysia-China meningkat 8.5 peratus, dengan pertumbuhan 11.3 peratus bagi eksport dan 6.3 peratus dalam import.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan dan manfaat daripada penggantian import susulan kesan perang perdagangan AS-China.

Ong berkata terdapat kira-kira 300 daripada 500 syarikat China utama, disenaraikan di Fortune Magazine, yang belum melabur di Malaysia.

“Syarikat inilah yang kita mahu tarik dengan mengetengahkan kelebihan semula jadi dan strategik sebagai lokasi pelaburan.

“Pelawaan Malaysia bagi pelaburan berkualiti tinggi dari China dan negara lain di dunia perlu diuar-uarkan,” katanya.

Dari Januari hingga September 2018, pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan dari China yang diluluskan telah mencecah RM15.62 bilion.

“Lebih 50 peratus daripada FDI pembuatan daripada syarikat China yang diluluskan itu adalah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (pada Mei 2018), menunjukkan syarikat China terus yakin terhadap ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan baharu,” katanya.

Beliau berkata kajian terkini Nomura Global Economics meletakkan Malaysia sebagai negara teratas, berdasarkan skor Indeks Penggantian Import Nomura (NISI), yang boleh memberi manfaat khususnya dalam eksport litar bersepadu elektronik, gas asli cecair dan peralatan komunikasi.

Sementara itu, Economist Intelligence Unit menjangkakan Malaysia meraih manfaat daripada pengeluaran dan pelaburan terubah dalam automotif, serta produk teknologi maklumat dan komunikasi.

“Walaupun ekonomi kecil dan terbuka seperti Malaysia berharap agar perang perdagangan AS-China tidak berlanjutan, namun wujud faktor pengurangan yang agak meredakan kesannya ke atas kita.

“Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia memiliki kelebihan semula jadi dan strategik termasuk persekitaran politik yang stabil, infrastruktur logistik yang moden seperti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang, tenaga kerja mahir, persekitaran kompetitif dari segi kos untuk menjalankan perniagaan, kehidupan yang berkualiti serta akses kepada kumpulan tenaga dan pengurus berbahasa Cina, antaranya,” katanya.

— BERNAMA