Malaysia Dateline

China pertahan keputusan untuk tahan warga Kanada

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China mempertahan keputusan kerajaannya menahan dua warga Kanada dan pada masa yang sama mengecam Kanada dan Amerika Syarikat (AS) atas penahanan tidak adil terhadap Ketua Kewangan Huawei, Sabrina Meng Wanzhou, lapor South China Morning Post.

Ketika taklimat diberikan di Beijing pada hari Isnin, jurucakap Hua Chunying turut ditanya mengenai penahanan dua warga Kanada di China, iaitu Michael Spavor dan Michael Kovrig dimana pihak Kanada telah menyatakan bahawan penahanan tersebut sebagai “tidak adil”.

Hal ini adalah sebaliknya bagi penahanan Sabrina oleh pihak berkuasa Kanada yang “adil, neutral dan terbuka” di Vancouver atas permintaan AS pada 1 Disember lalu.

Walaubagaimanapun, Hua menyoal, “Saya pelik dengan sikap beberapa negara (AS, Britain dan Kesatuan Eropah) yang terlibat dengan kes ini. Dimanakah suara mereka apabila seorang pengurus kanan sebuah syarikat di China ditahan secara tidak sah oleh pihak Kanada di atas permintaan AS?,”.

“Ini jelas bahawa isu Hak Asasi Manusia yang sering mereka memperkatakan mempunyai makna berbeza apabila ia melibatkan negara lain,”.

Sabrina baru-baru ini dilepaskan dengan ikat jamin sebelum pendengaran kesnya. Ketika ini, AS terlibat dengan perang dagang dengan China dimana AS menuduh Sabrina atas kesalahan menipu yang telah melanggar peruntukan resolusi sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran.

Penahanan Michael Spavor dan Michael Kovrig, kedua-duanya memegang kerakyatan Kanada, dilihat sebagai tindakan balas oleh China.

Hua walaubagaimanapun, menolak pandangan itu.

“Pihak berkuasa China telah mengambil tindakan selaras dengan undang-undang dengan menahan rakyat Kanada, Michael Spavor dan Michale Kovrig dimana mereka didapati terlibat dengan aktiviti yang mendatangkan kemudaratan kepada isu keselamatan China,”.

Tambah beliau, “Kami menyeru negara-negara berkaitan untuk menghormati kedaulatan undang-undang China,”.

Soal penahanan Sabrina, Hua memberi respon bahawa, “Beliau (Sabrina) tidak melanggar apa-apa peruntukan undang-undang Kanada dan pihak Kanada turut mengambil maklum tentang hal ini,”.

“Pihak Kanada sering menyatakan bahawa ia terikat dengan perjanjian extradisi dua hala dengan AS. Walaubagaimanapun, adakah ini bermakna Kanada boleh menutup mata atas ketidakadilan yang berlaku terhadap norma-norma asas undang-undang dan hubungan antarabangsa? Adakah ini bermakna Kanada boleh mengendahkan keperluannya untuk melindungi hak perundangan dan asasi warganegara China?,”.

Hua turut menyeru Kanada untuk “memperbetulkan kesilapan ini” dan membebaskan Sabrina secepatnya. Pada masa yang sama, AS turut diseru untuk menarik balik permintaan ekstradisinya.

China ketika ini menahan Michael Kovrig, mantan diplomat Kanada dan Michael Spavor, konsultan perniagaan yang berpangkalan di China, pada 10 Disember lalu.

Duta Kanada ke China, John McCallum telah melawat Kovrig dan Spavor. Tetapi keadaan mereka menimbulkan kebimbangan. Majikan Spavor, International Crisis Group mengatakan bahawa Spavor tidak diberikan akses untuk mendapatkan perkhidmatan guaman.