Malaysia Dateline

China protes Amerika Syarikat tahan Ketua Kewangan Huawei

Beijing pada Khamis lepas meminta Amerika Syarikat (AS) dan Kanada untuk memberi penjelasan diatas tindakan Ottawa yang telah menahan Ketua Kewangan Huawei, sebuah syarikat telekomunikasi gergasi China, Sabrina Meng, atas permintaan kerajaan AS, lapor South China Morning Post.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata bahawa AS dan Kanada masih belum memberikan apa-apa penjelasan diatas penahanan Meng, yang merupakan salah seorang Timbalan Pengerusi Huawei dan juga anak perempuan bagi pengasas dan Ketua Eksekutif Ren Zhengfei.

Geng berkata Beijing telah menyatakan protes kepada Washington dan Ottawa dan telah menawarkan bantuan konsular sebaik sahaja Meng ditahan.

Penahanan Meng di Vancouver telah menimbulkan kesangsian berkaitan isu pendamaian sementara selama 90 hari bagi perang dagang yang dipersetujui oleh Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping pada 1 Disember lepas, pada hari Meng ditahan.

Kementerian Perdagangan China turut menolak persoalan bahawa penahanan Meng ada kaitan di antara krisis Huawei dan perang dagang AS-China.

“Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat berkenaan hal tersebut pada masa ini,” jelas jurucakap kementerian, Gao Feng.

Pihak Kanada mengesahkan bahawa Meng telah ditahan pada hari Rabu lepas.

“Wanzhou Meng telah ditahan di Vancouver pada 1 Disember,” kata Ian Mcleod, jurucakap Jabatan Keadilan Kanada. Tambah Mcleod, “Beliau (Meng) telah dipohon untuk diekstradisi ke AS dan pendengaran kes beliau dijadualkan pada hari Jumaat,”.

Meng merupakan antara individu yang dikatakan akan menggantikan bapanya untuk menerajui syarikat telekomunikasi gergasi China itu. Beliau ditahan atas tuduhan mengelak daripada sekatan embargo yang dikenakan oleh AS kepada Iran, menurut laporan The Globe and Mail.

Kerajaan China telah menyatakan protes sejurus selepas kerajaan Kanada mengumumkan penahanan Meng.

“Atas permintaan AS, Kanada telah menahan seorang warganegara China yang tidak melanggar mana-mana undang-undang AS ataupun Kanada. China menyatakan memprotes sekeras-kerasnya terhadap penahanan tersebut yang memberi kemudaratan kepada hak asasi manusia mangsa tersebut,” kata Kedutaan China di Ottawa.

“Pihak China telah menyatakan protes sekeras-kerasnya kepada AS dan Kanada, dan meminta mereka untuk memperbetulkan keadaan dan mengembalikan hak kebebasan Meng Wanzhou,”.

“Kami akan memerhatikan isu ini dengan lebih rapat dan akan mengambil segala tindakan yang bersesuaian dalam melindungi hak-hak dan kepentingan-kepentingan rakyat China,”.

Di dalam satu kenyataan, Huawei mengambil maklum tentang penahanan dan permohonan ekstradisi oleh AS.

“Baru-baru ini, Ketua Kewangan Huawei, Meng Wanzhou telah ditahan oleh pihak berkuasa Kanada, atas permintaan AS yang telah memohon untuk mengekstradisi Meng Wanzhou untuk dihadapkan beberapa pertuduhan yang masih tidak jelas di New York, ketika beliau (Meng) menukar penerbangan di Kanada,”.

“Syarikat (Huawei) hanya diberikan maklumat yang sedikit berkenaan pertuduhan-pertuduhan tersebut dan masih tidak pasti apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh Meng. Pihak syarikat yakin bahawa sistem perundangan AS dan Kanada akan memberi pengadilan yang bersesuaian,” jelas Huawei.

“(Syarikat) Huawei mematuhi segala peruntukan undang-undang yang terpakai, termasuklah pengawalan ekspot dan sekatan yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), AS dan Kesatuan Eropah (EU),” tambah Huawei.