Malaysia Dateline

China setuju batalkan projek ECRL dan banyak lagi, kata Mahathir

Projek jajaran Keretapi Pantai Timur(ECRL) dan projek-projek lain antaranya   projek saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Kerajaan sebelumnya yang memberikan projek berkenaan kepada firma China dibatalkan kerana Presiden China  Xi Jinping bersetuju dengan pendirian Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menurut Dr Mahathir berkaitan perundingan pampasan dan isu-isu lain akan ditangani oleh pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat China yang terlibat.

“Saya menjelaskan kepada mereka projek-projek ini tidak akan berterusan kerana kita tidak memerlukannya dan keutamaan kita adalah untuk mengurangkan hutang negara.

“Mereka (pemimpin China) melihat pandangan kita,” kata Dr Mahathir kepada media di akhir lawatan lima hari ke China hari ini.

Semalam Perdana Menteri China Le Keqiang dipetik berkata, kerajaannya bersedia untuk mempromosikan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan Malaysia.

Dr Mahathir kini sedang berusaha berunding semula dan mungkin membatalkan berbilion projek-projek dengan negara China.

Hubungan Malaysia-China agak tegang sejurus kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu yang mengambil alih kuasa kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional.