Malaysia Dateline

Cho dipenjara 40 tahun selepas dera seksual 74 wanita, kanak-kanak

Sebuah mahkamah di Seoul hari ini menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun kepada dalang satu daripada sindiket pemerdagangan seks terbesar di Korea Selatan.

Mahkamah Pusat Daerah Seoul mendapati Cho Ju-bin bersalah melanggar undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan remaja bawah umur daripada penderaan seksual.

Dia juga bersalah mengendalikan rangkaian jenayah untuk mengaut keuntungan dengan menghasilkan dan menjual video penderaan terbabit.

“Tertuduh telah menyebarkan secara meluas isi kandungan video yang dihasilkannya dengan memikat dan mengancam ramai mangsa,” kata mahkamah, lapor Bernama memetik Agensi Berita Yonhap.

Awal tahun ini, tertuduh dikenakan 14 tuduhan jenayah.

Cho, 25, dituduh melakukan jenayah itu dari Mei hingga Februari tahun lalu.

Tertuduh dan rakan subahatnya memeras ugut 74 wanita, termasuk 16 kanak-kanak dan remaja bawah umur, untuk merakamkan kandungan penderaan seksual dan menjualnya kepada anggota Baksabang, sebuah laman sembang dalam talian di Telegram.

Seorang mangsa mengatakan, Cho dan rakan subahatnya sangat kejam dan wajar dipenjara selama 2,000 tahun.