Malaysia Dateline

Chong kesal pengagihan dekoder MyTV cuba disabotaj

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen melahirkan rasa kesal apabila pengagihan dekoder MyFreeview cuba disabotajkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, terdapat pihak yang cuba membuat provokasi dan sabotaj termasuk berlakunya gangguan bekalan elektrik ketika pengagihan sedang dijalankan semalam.

Chong Chieng Jen

Tambahnya, semasa pengagihan kelmarin keadaan adalah berjalan dengan lancar berbanding semalam dengan beberapa insiden yang tidak diingini telah berlaku.

“Semalam keadaan telah bertukar yang mana laporan daripada petugas di pusat khidmat mengatakan segelintir individu menjerit dan berebut-rebut sejak pagi dan ada di kalangan penerima tidak mengendahkan arahan yang diberikan.

“Mereka mula membaling barang sehingga tercetus insiden huru hara selain segelintir mereka cuba membuat provokasi dan sabotaj termasuk berlakunya gangguan bekalan elektrik ketika pengagihan sedang dijalankan.

” Justeru,kta tidak ada pilihan selain terpaksa memanggil polis dan Unit Tindakan Ringan (LSF) ke sini untuk mengawal keadaan” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Chong yang juga merupakan Pengerusi DAP Sarawak menambah, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalankan proses pengagihan dekoder itu meskipun dengan jumlah orang ramai yang besar.

“Ini kerana segelintir individu yang tidak mematuhi arahan yang diberikan menyebabkan kekecohan berlaku di situ.

“Kita sangat yakin dan mengesyaki terdapat segelintir individu yang cemburu dengan kejayaan pada hari pertama proses pengagihan yang berjalan dengan lancar sehingga tercetusnya insiden semalam,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak polis kerana berjaya mengawal keadaan sepanjang proses pengagihan dekoder itu

“Kita akan meneruskan usaha untuk menjalankan pengagihan dekoder MyTV di negeri ini dan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Mutlimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan proses pengagihan yang berskala besar dengan menggunakan dewan yang lebih sesuai pada masa akan datang,” kata Chong.

Sebanyak 3,000 dekoder MyTV telah diagihkan kepada penduduk di sekitar Kuching yang layak menerimamya.

Majlis pengagihan telah diadakan di Ibu Pejabat DAP di Kuching bermula kelmarin dan semalam.