Malaysia Dateline

CIDB sedia pelan tindakan 4.0 untuk industri pembinaan

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, CIDB e-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC), akan menggubal pelan tindakan Revolusi Industri Keempat 4.0 (IR 4.0) bagi industri pembinaan, menjelang Januari 2020.

Pelan tindakan itu akan meliputi tempoh lima tahun mulai 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDBEC Rofizlan Ahmad berkata pelan tindakan itu bertujuan menyediakan arah tuju yang jelas untuk penggiat industri, selain menyelaraskan program akan datang yang berkaitan IR 4.0, khususnya Model Maklumat Bangunan (BIM).

Beliau berkata jawatankuasa khas telah dibentuk, terdiri daripada pelbagai ahli daripada bidang berkaitan, iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Institut Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM).

“Jawatankuasa ini akan mengkaji status sektor pembinaan Malaysia dari segi tahap penerimaan BIM jika dibandingkan dengan negara yang telah melaksanakannya, termasuk United Kingdom, Perancis, Brazil dan Mexico.

“Kajian mengenai penggunaan BIM dan rancangan masa depan untuk negara juga akan digariskan bagi meningkatkan penggunaan BIM dalam kalangan penggiat industri,” katanya kepada Bernama.

BIM ialah teknologi pemodelan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Ia merupakan proses berasaskan model tiga dimensi (3D) pintar yang memberikan maklumat untuk arkitek, kejuruteraan, dan profesional pembinaanerancang, merekabentuk, membina dan mengurus bangunan dan infrastruktur dengan cekap.

Rofizlan berkata penggunaan BIM boleh menjimatkan kira-kira 15 hingga 20 peratus dalam masa dalam peringkat perancangan dan reka bentuk, bergantung kepada reka bentuk dan pembinaan projek.

Visual 3D juga berkeupayaan untuk memberi perincian ke atas setiap infrastruktur dan item di dalamnya.

Rofizlan berkata penggunaan BIM mampu menjimatkan kira-kira 15 hingga 20 peratus masa pembinaan projek disebabkan tempoh perancangan yang lebih lama antara pelbagai pihak yang terlibat dalam peringkat reka bentuk.

Dalam perkembangan yang sama, Rofizlan berkata pelan tindakan BIM juga akan menekankan penggunaan integrasi berasaskan awan untuk teknologi BIM, yang merupakan bentuk penerimaan tertinggi untuk BIM (akreditasi Aras 3).

“Dengan melibatkan semua petugas dalam platform berasaskan awan, antara lain akan meningkatkan keupayaan untuk audit analisis dan reka bentuk, kecekapan untuk penghasilan reka bentuk dan pemahaman yang lebih baik mengenai sesuatu projek pada peringkat awal.

“Ia juga membolehkan mereka berada pada lokasi berbeza namun dapat mengakses maklumat projek melalui platform awan. Selain itu, pelanggan dan pemilik bangunan juga boleh menilai reka bentuk dan membuat pengubahsuaian yang dicadangkan selain membuat keputusan yang lebih cepat mengenai kelulusan,” katanya.

CIDBEC ialah pusat rujukan untuk industri pembinaan, dan mengurus Pusat myBIM CIDB, yang menyediakan latihan mengenai BIM dan teknologinya, serta perkhidmatan lain seperti kemudahan sewa bilik, studio dan makmal.

— BERNAMA