Malaysia Dateline

CIJ dan Geram kecam tindakan Azam cuba diamkan wartawan

Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) sangat gusar apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengeluarkan surat tuntutan kepada wartawan penyiasat, Lalitha Kunaratnam

Surat tuntutan itu bertujuan bagi menyingkirkan dua artikel berjudul “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1) and (Part 2)” dan menggesa permohonan maaf dibuat oleh wartawan berkenaan.

Azam turut mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang atas alasan mencemarkan nama beliau dengan bayaran ganti rugi sebanyak RM10 juta sekiranya wartawan tersebut enggan menuruti permintaanya.

Menurut kenyataan bersama dua pertubuhan media itu, sebagai kuasa keempat bagi demokrasi, media dan wartawan mempunyai tanggungjawab penting bagi memastikan pemerintah, termasuklah pegawai kerajaan, agar bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Lebih-lebih lagi apabila Lalitha, wartawan penyiasat, telah menyediakan laporan berasaskan fakta yang turut menyoal persoalan penting untuk orang awam, kata mereka.

“Tindakan Azam menimbulkan persoalan terhadap peranan SPRM, dan juga pihak pemerintah dalam usaha mereka memerangi rasuah di Malaysia.

“Sepatutnya, tindakan yang wajar diambil oleh SPRM dan pemerintah adalah menjalankan siasatan terhadap dakwaan dalam laporan tersebut dan bukannya menyiasat pelapor!” kata kenyataan itu.

Bagi mereka, tindakan Azma telah menyebabkan “Pihak pemerintah bukan sahaja gagal mengendalikan tuduhan rasuah yang dibuat, bahkan turut gagal melindungi wartawan penyiasat yang juga memainkan peranan sebagai pemberi maklumat.”

Bagi mereka, pemberi maklumat adalah bahagian penting dalam kebebasan bersuara.

Perlindungan terhadap pemberi maklumat adalah penting bagi menjaga kepentingan awam dan menggalakkan budaya kebertanggungjawaban awam dan integriti, katanya.

Oleh yang demikian, mereka menggesa agar perkara-perkara ini segera dilaksanakan:

1. Azam Baki harus menarik semula surat tuntutan serta merta dan segera menghentikan sebarang bentuk gangguan terhadap wartawan;

2. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 harus dinilai semula dan skop perlindungannya harus dikembangkan dan diperkukuhkan dengan segera;

3. Pihak pemerintah harus mengangkat hak kebebasan bersuara dan melindunginya sepanjang masa untuk warga Malaysia, terutamanya buat media, dengan memansuhkan undang-undang yang menekan dan menghadkan kebebasan, termasuklah undang-undang fitnah yang sangat kabur;

4. Segera mewujudkan Majlis Media Malaysia sebagai badan tadbir kendiri yang bebas dan telus untuk industri media dan mengelakkan pihak pemerintah dan agensinya menjadi satu-satunya rujukan kebenaran;

5. Menyiasat dakwaan terhadap Azam Baki dan mendukung integriti SPRM dan pemerintah.