Malaysia Dateline

CIJ, dua badan media gesa tarik semula sekatan liputan sidang Parlimen

Tiga badan bebas media kecewa dengan tindakan pejabat Parlimen yang berterusan menyekat liputan media untuk sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13 September depan.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berkata, organisasi media sepatutnya diberi kebebasan untuk membuat liputan sidang Parlimen dan segala langkah menyekat hal itu akan menjejaskan kebebasan media.

“Hanya 16 organisasi yang dibenarkan hadir dan membuat liputan, menurut kenyataan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun.

“Ini sama seperti apa yang berlaku ketika sidang yang lalu pada Oktober 2020, dengan hanya sedikit perubahan melibatkan senarai media yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Azhar menyenaraikan 16 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan pada sidang akan datang.

Selain agensi media kerajaan, pihak lain yang dibenarkan termasuk Malaysiakini, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP dan MalaysiaNow.

Justeru, CIJ, Geramm, dan NUJ mendesak agar Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan mengapa beberapa media tertentu tidak dibenarkan membuat liputan secara fizikal.

Mereka juga menuntut Azhar memberitahu bagaimana proses pemilihan dilakukan.

“Kenyataan Azhar yang tidak menyebut bagaimana pemilihan dilakukan, menimbulkan persoalan mengenai layanan dua darjat dan ketelusan proses tersebut. Mereka perlu menjelaskan alasan mereka.

“Kami menuntut sekatan-sekatan tersebut ditarik semula bagi melindungi hak-hak media dan mewujudkan persekitaran selamat bagi media untuk menjalankan peranan mereka tanpa sekatan dan gangguan yang bersifat diskriminasi,” katanya lagi.