Malaysia Dateline

CIJ kecam tindakan ganggu gugat kebebasan media

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam tindakan mengganggu gugat dan mengancam kebebasan media, susulan perintah mahkamah yang mendenda Malaysiakini sebanyak RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah G. Naidu berkata, CIJ sebelum ini telah membangkitkan kebimbangan berhubung Seksyen 114A Akta Keterangan terutama ketika undang-undang itu pertama kali diperdebatkan.

Menurutnya, undang-undang itu antara lain menjadikan individu dan mereka yang mengendali atau menyediakan ruang untuk forum komuniti atas talian, bertanggungjawab atas kandungan yang diterbitkan melalui perkhidmatannya.

“Penggunaan seksyen ini mengancam kebebasan bersuara atas talian dan dianggap adalah salah untuk mereka menerbitkan kandungan dalam talian.

“Anggapan ini bertentangan dengan prinsip keadilan yang asas iaitu seseorang tidak bersalah hingga terbukti bersalah.

“Keputusan mahkamah hari ini memperkuatkan kebimbangan yang telah kita kemukakan sebelumnya mengenai penggunaan Seksyen 114A Akta Keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Malaysiakini bertanggungjawab kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarangnya, Steven Gan tidak didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf menyampaikan keputusan itu pagi ini.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Rohana berkata Malaysiakini tidak boleh mengatakan bahawa sistem saringannya gagal menyaring komen yang menyinggung perasaan, padahal hakikatnya ia sengaja memilih untuk hanya menyaring bahasa yang buruk tetapi bukan yang menyinggung perasaan.

“Malaysiakini tidak boleh meletakkan seluruh kesalahan kepada pelanggan dalam talian iaitu pihak ketiga, dengan secara tidak adil dan tidak bertanggungjawab, sambil melepaskan semua tanggungjawabnya,” katanya.

Sementara itu, CIJ berpendapat, hukuman terhadap Malaysiakini juga menimbulkan kemungkinan bahawa portal berita lain akan memadam sebahagian komen pembaca untuk mengurangkan risiko yang datang dari komen pihak ketiga.

Ini bererti pembaca tiada peluang untuk mengkritik, menyuarakan perbezaan pendapat khususnya mengenai masalah berkait dengan kepentingan umum.

Ini katanya, mencabar kebebasan bersuara yang dilindungi oleh perlembagaan, yang menyokong dan memudahkan penglibatan masyarakat secara demokrasi yang sihat.

“Sebelum ini kami menyaksikan wartawan dan portal berita disiasat oleh polis dan didakwa di mahkamah atas laporan mereka. Operasi media di Malaysia sekarang agak dikawal dan terbatas lebih dari sebelumnya sejak pertukaran kerajaan tahun lalu.

“Kami meramalkan Malaysia menjadi lebih autoritarian sekiranya negara terus menghukum dan menakut-nakutkan media dengan cara ini.

“Kami mengulangi pendirian kami mengenai perlunya membatalkan undang-undang penindasan yang mempengaruhi kebebasan media dan kebebasan bersuara iaitu Seksyen 114A Akta Keterangan,” katanya lagi.