Malaysia Dateline

CIJ mahukan jaminan akses maklumat Covid-19

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) meminta agar kerajaan tidak menyekat kebebasan media untuk mendapatkan info menyeluruh berhubung pandemik wabak Covid-19.

Menurut Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu, beberapa bulan terakhir ini media diberi ruang yang terhad untuk mengakses maklumat dan melaporkan berkenaan wabak global berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu boleh dibuktikan melalui sidang media Menteri yang ketika ini hanya terhad kepada media rasmi sahaja terutamanya sidang media harian berkenaan Covid-19 oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu katanya, pada 26 Jun 2020, ketua editor portal berita kesihatan CodeBlue Boo Su-Lyn, telah disoal siasat oleh polis berhubung laporan yang dinyatakan oleh sebuah jawatankuasa siasatan bebas mengenai kebakaran di Hospital Sultanah Aminah di Johor pada tahun 2016.

Untuk rekod, Su Lyn disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, kerana mendedahkan maklumat sulit.

“Senario ini amat membimbangkan kerana masyarakat berhak mengetahui apa yang berlaku agar mereka dapat membentuk pendapat sendiri berdasarkan pelbagai sumber maklumat.

“Kedua, sebarang penapisan dan kawalan platform media oleh kerajaan akan mewujudkan kelompongan maklumat.

“Ketiga, kecenderungan menyekat dan membenarkan akses hanya kepada agensi media kerajaan menimbulkan situasi bahawa hanya berita atau persepsi berpihak sahaja yang akan tersedia untuk umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendiriannya agar kerajaan perlu memastikan kesemua agensi media dapat mengakses maklumat secara adil dan saksama terutama berkaitan Covid-19 dan perkara melibatkan kepentingan masyarakat.

Tambahnya lagi, media tidak boleh dihukum atas alasan ‘keselamatan negara’ jika pendedahan maklumat yang dilakukan tidak mendatangkan bahaya dan ia membabitkan kepentingan umum untuk mengetahui maklumat tersebut.

Justeru itu, CIJ berharap kerajaan akan meneruskan komitmen kerajaan sebelum ini untuk menggugurkan akta rahsia rasmi (OSA) yang jahat dan menggubal undang-undang hak untuk mendapatkan maklumat (Right to Information).