Anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B kembali menjadi sorotan baru-baru ini selepas membuat pendedahan mengenai tragedi yang pernah dialaminya ketika kecil.
Pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Mohd Amin itu mengakui tragedi tersebut cukup memberikan kesan yang mendalam sehingga meninggalkan trauma kepada dirinya.
Semuanya berpunca daripada sikap pembantu rumahnya dahulu yang bertindak menderanya dengan teruk hampir setiap hari ketika ibunya tiada di kediaman di atas urusan pekerjaan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh gadis berusia 19 tahun terbabit di dalam satu sesi ‘podcast’ atau audio siar Studio Sembang yang dikendalikan pelakon dan pengacara iaitu Amelia Henderson.
“Pembantu rumah kami sangat kasar. Saya dahulu ada empat orang adik-beradik. Dia tak suka anak yang sulung dan ketiga. Tetapi dia boleh sukakan anak kedua dan yang bongsu.
“(Ketika itu) Setiap hari kena dera dengan teruk sebab dia adalah seorang penagih dadah juga,” dedah Cik B dalam sesi audio siar yang mana rakamannya turut dimuat naik di platform Youtube.
Dalam perkongsian yang sama, Cik B juga menyifatkan bahawa penderaan dialaminya ketika itu kemungkinan lebih teruk daripada kes-kes yang pernah tular di media sosial sebelum ini.
Cik B turut memaklumkan bahawa penderaan tersebut langsung tidak diketahui oleh Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman sehinggalah usahawan itu menonton sendiri rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Pembantu rumah itu pukul dan memarahi saya. Dia juga pernah mengunci saya di dalam rumah seorang diri. Saya juga pernah dipukul pakai buluh dari belakang. Kalau kita tengok dekat media sosial, ada kanak-kanak yang didera.
“Saya pula kena tiga ke lima kali ganda lagi teruk didera daripada itu. Mama tak tahu sebab ketika itu dia selalu ke luar negara. Saya juga tak beritahu sampailah Mama tahu sendiri selepas tengok CCTV,” katanya.
Menurut Cik B yang juga pempengaruh media sosial itu, kejadian tersebut telah meninggalkan trauma mendalam kepada dirinya sehingga kini berikutan merasa ‘selesa’ walaupun didera.
Malah Cik B juga mengakui masih memiliki rasa sayang terhadap pembantu rumah berkenaan kerana membesar dengan kehadirannya ketika ibunya keluar bekerja untuk keluarga.
“Saya sayang sangat dekat bibik ini sebab dia ada dengan saya ketika kecil. Ia memberi kesan kepada saya sehingga sekarang. Saya rasa benda yang berkaitan penderaan ini membuatkan diri rasa selesa.
“Tetapi saya rasa kena buang perasaan itu. Mungkin sebab hanya dia sahaja yang ada dengan saya ketika kecil. Mama ada, tetapi dia adalah ibu tunggal dan bekerja untuk keluarga.” Jelas Cik B.
Sekadar info, Cik B juga memiliki adik-beradik lain selain Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Kacak iaitu dua abang yang meninggal dunia sekitar 12 tahun yang lalu.
Abang Cik B yang bernama Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin dan anak kedua, Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin itu maut akibat tragedi kebakaran di rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama tempat tinggal kakitangan ibunya.
Baca juga: Baru raya kedua orang dah cari mamak, kenapa mamak selalu jadi pilihan?