Cik Epal tuntut Dewi bayar ganti rugi RM1 juta, buat permohonan maaf secara terbuka

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh, Cik Epal mendedahkan bahawa dirinya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Emira Delyati Dewi iaitu wanita yang sebelum ini didakwa mempunyai hubungan dengan bekas suaminya, Jofliam.

Perkara itu didedahkan Cik Epal menerusi satu hantaran di platform Instagram bersama lampiran gambar notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi fitnah yang dihantarkannya kepada Dewi melalui pihak peguam.

Berdasarkan notis itu, Cik Epal menggesa Dewi untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya selain menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta.

“Aku telah menghantar notis tuntutan kepada Dewi melalui peguam aku. Aku menuntut Dewi membuat PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA dan membayar ganti rugi RM1 juta kepada aku,” katanya di ruangan kapsyen.

Difahamkan, Dewi telah bertindak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Cik Epal ketika ditemu bual dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ yang diterbitkan di atas talian oleh sebuah media hiburan tempatan.

Cik Epal juga mendakwa Dewi telah mencalarkan imej dan reputasinya berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan termasuk dakwaan bahawa pempengaruh itu menjadi punca keretakan rumah tangganya terlebih dahulu.

Pemilik nama sebenar Murni Mahmud itu turut berkongsi tangkap layar memaparkan satu perbualan antara Dewi dengan seorang pengguna Instagram ketika menjawab soalan individu terbabit mengenai keretakan rumah tangganya.

“Saya tak nak berjumpa CE (Cik Epal) pada awalnya sebab dia sudah hancurkan masjid (rumah tangga) saya dahulu kerana fitnah-fitnah CE. Sebab itu masa dia berjumpa dengan saya, dia menangis.

“CE sendiri cakap sebabkan dia sudah menghancurkan rumah tangga saya dahulu, rumah tangga dia sendiri hancur. Sebab itu CE tawarkan saya jadi isteri kedua untuk menebus kesilapan dia. Whatsapp semua ada bukti daripada CE.” Tulis Dewi dalam perbualan itu.

Mengulas lanjut, Cik Epal menerusi hantaran berikutnya di Instagram Story menegaskan bahawa perkara itu akan dibawa ke mahkamah sekiranya Dewi enggan memohon maaf selain mengakui telah memenangi semua kes saman yang melibatkan dirinya sebelum ini.

Baca juga: Terkejut tengok keadaan Ebby Yus sekarang makin kurus, kesihatan merosot